December 16, 2010

Konsep Musyarakah (Perkongsian)

Konsep Musyarakah (Perkongsian)


Selain mudharabah, musyarakah juga merupakan salah satu bentuk produk di bawah kontrak perkongsian yang tersenarai di dalam institusi perbankan Islam. Dari segi bahasa, musyarakah atau syarikah bermaksud percampuran harta milik orang yang berlainan sehingga tidak dapat dibezakan antara satu sama lain.


Dari segi istilah, musyarakah adalah perjanjian yang dimeterai antara 2 pihak atau lebih sebagai rakan kongsi untuk berkongsi modal dan keuntungan dalam sesuatu perniagaan atau perusahaan. Sekiranya perusahaan mengalami kerugian, maka pembahagian kerugian mestilah berdasarkan modal masing-masing yang diketengahkan. Tidak disyaratkan modal semua rakan kongsi sama jumlahnya.

Di dalam aplikasi sistem perbankan Islam, bank bertindak sebagai rakan kongsi kepada pelanggannya dengan menyediakan pembiayaan atas konsep musyarakah tanpa mengenakan kadar faedah. Bank boleh membiayai perusahaan tersebut sepenuhnya atau sebahagiannya sahaja.


Ini bermakna, sekiranya perusahaan tersebut mengalami keuntungan, bank berhak menerima bahagian daripada keuntungan perusahaan yang bakal diperolehi kelak. Kadar perolehan keuntungan sesama rakan kongsi hendaklah dipersetujui semasa kontrak dimaterai. Manakala pelanggannya pula mendapat bahagian daripada keuntungan atas sebab pembiayaan peribadi yang disuntik masuk ke dalam perusahaan dan juga kerja serta pengurusan yang dilakukannya sendiri. Sebaliknya, jika perusahaan tersebut mengalami kerugian, maka setiap pihak perlu menanggung kerugian tersebut mengikut jumlah pembiayaan yang diketengahkan.



Musyarakah Mutanaqisah

Musyarakah mutanaqisah (perkongsian yang semakin berkurang) juga dikenali sebagai musyarakah muntahiah bitamlik (perkongsian yang diakhiri dengan pemilikan). Melalui konsep ini, bank dan pelanggannya berkongsi modal untuk mendapatkan sesuatu aset. Maka, pemilikan aset tersebut adalah ke atas kedua belah pihak. Aset tersebut akan menjadi milik penuh pelanggan apabila dia telah membayar kembali kesemua pembiayaan yang diketengahkan bank dalam tempoh masa yang ditetapkan secara berkala.

Sebagai contoh, Ina telah memohon pembiayaan atas kontrak musyarakah mutanaqisah untuk membeli sebuah banglow. Setelah mengenal pasti banglow yang ingin dibelinya, Ina membayar 10% daripada harga banglow tersebut sebagai deposit. Baki sebanyak 90% dibayar oleh bank. Maka Ina berkongsi milik dengan pihak bank ke atas banglow tersebut sebanyak 1 : 9 (satu nisbah sembilan).

Ina telah bersetuju untuk membayar kembali kepada pihak bank sebanyak 1% setiap bulan secara berkala untuk mendapatkan pemilikan penuh (kadar bergantung kepada kontrak yang dipersetujui di awal perjanjian). Maka, dalam tempoh itu pemilikan bank ke atas rumah tersebut akan berkurang, manakala pemilikan Ina akan bertambah. Di akhir kontrak, pemilikan rumah tersebut telah berpindah sepenuhnya ke atas Ina, menjadikan nisbah pemilikan 10 : 0.


Keputusan Majlis Penasihat Syariah

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dalam mesyuaratnya yang ke 53 bertarikh 29 September 2005 telah memutuskan bahawa produk pembiayaan berasaskan kontrak musyarakah adalah dibenarkan selagi tiada elemen jaminan modal dan/atau keuntungan oleh rakan kongsi ke atas rakan kongsi yang lain.


Keputusan tersebut adalah berdasarkan beberapa dalil keharusan musyarakah :

(i) Firman Allah menerusi Surah Saad : 24,

Maksudnya : “...dan sesungguhnya kebanyakan dari orang yang bergaul itu, setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, sedang mereka amatlah sedikit...” 35

Perkataan’al-khulatha’ dalam ayat di atas membawa maksud perkongsian. Berdasarkan ayat di atas, musyarakah merupakan syariat lama yang tidak dimansuhkan. Amalan ini telah sedia ada sejak zaman Nabi Daud dan tidak ditegah oleh Nabi Muhammad SAW. Namun, musyarakah perlu dilaksanakan secara adil dan berlandaskan Syarak.

(ii) Apabila Rasulullah SAW dilantik sebagai pesuruh Allah SWT, masyarakat Arab telah menjalankan mua`malah secara musyarakah dan Rasulullah SAW membenarkannya seperti sabda baginda:

“Pertolongan Allah SWT ke atas dua orang yang bersyarikat adalah selagi mana salah seorang daripada kedua-duanya tidak mengkhianati rakan kongsinya. Sekiranya salah seorang mengkhianati rakan kongsinya maka Allah SWT akan mengangkat pertolonganNya daripada kedua-duanya.” - Al-Daraqutni, Sunan al-Daraqutni, Mu’assasah al-Risalah, 2004, j. 3, h. 442, hadis no. 2934.

(iii) Terdapat riwayat sahabat Rasulullah SAW yang menyatakan tentang keharusan musyarakah seperti yang berikut:

“Keuntungan adalah berdasarkan apa yang telah disyaratkan dan kerugian adalah berdasarkan kadar harta (pihak yang berkongsi).” - Al-Zaila`i, Nasb al-Rayah li Ahadis al-Hidayah, Mu’assasah al-Rayyan, 1997, j. 3, h. 475.

“Kerugian adalah berdasarkan kadar harta, dan keuntungan adalah berdasarkan apa yang disyaratkan.” - Abdul Razzaq al-San`ani, Musannaf Abdul Razzaq, Al-Maktab al-Islami, 1403H, j. 8, h. 248.


(iv) Secara umumnya, ulama bersependapat dalam mengharuskan syarikat atau musyarakah, walaupun mereka berselisih pendapat mengenai jenis-jenis musyarakah yang dibenarkan.


Wallahualam.


p/s : tulisan berbahasa arab tidak dapat dimasukkan lagi buat masa ini atas masalah teknikal.





Mukhlisah Mardhiah

Permai Hill

10 Muharam 1432H / 16 Disember 2010M

11.59pm

December 13, 2010

Riba VS Untung

Beza Antara Riba (faedah) dan Untung


Terdapat perbezaan antara riba dan keuntungan di dalam urusan jual beli dan perniagaan. Allah telah menghalalkan keuntungan yang diperoleh hasil daripada jual beli dan mengharamkan riba dalam urusan hutang.


Jika dilihat dari segi luaran, kedua-duanya merupakan pertambahan daripada modal asal. Sebab itu golongan musyrik di zaman Rasulullah mendakwa bahawa pertambahan pada harga asal di dalam urusan jual beli sama seperti pertambahan pada harga asal disebabkan pembayaran tertangguh (hutang). Oleh itu, Allah Ta’ala telah membidas dakwaan mereka dengan menurunkan ayat menerusi surah al-baqarah : 275.
....................



Antara perbezaan di antara pertambahan yang halal (untung) dalam perniagaan dan pertambahan yang haram (riba) adalah :


(i) Pertambahan dalam riba adalah upah disebabkan pembayaran tertangguh.

Namun, pertambahan dalam perniagaan imbalannya barang yang dibeli termasuk bayaran ke atas usaha untuk mendapatkan barang tersebut.


(ii) Pertambahan dalam perniagaan adalah pertambahan harta yang nyata antara dua barangan yang berlainan dan bermanfaat pertukarannya. Contohnya duit dan makanan.

Namun, pertambahan menerusi hutang pada hakikatnya tidak ada pertukaran yang berlaku. Apabila dua barang misli (yang serupa) ditukar, maka hukumnya perlu dikembalikan seperti mana ia, tanpa menambah atau mengurangkan kuantitinya. Tambahan pula, hutang biasanya sekali, akan tetapi riba berterusan tanpa henti selagi pembayaran penuh tidak dilaksanakan.


(iii) Perniagaan meliputi 2 bentuk risiko, iaitu risiko penurunan harga barang ketika penjual ingin menjualnya, dan risiko kerosakan barang ketika masih di dalam simpanan penjual.

Sedangkan urusan hutang dengan riba tidak melibatkan apa-apa risiko. Sekadar hutang untuk dibayar balik. Maka berbaloilah keuntungan diambil melebihi modal.


Secara kesimpulannya, pertambahan di dalam riba adalah haram kerana duit tidak boleh mencipta duit lain dengan sendirinya. Sedangkan pertambahan keuntungan adalah harus kerana Islam tidak mengakui keuntungan melainkan jika berpunca daripada pekerjaan yang terdedah kepada 2 risiko iaitu rugi atau untung.


Wallahua'lam




Mukhlisah Mardhiah
12 Disember 2010M / 6 Muharam 1432H
Permai Hill

Justifikasi Pengharaman Riba dalam Islam

Justifikasi Pengharaman Riba dalam Islam

Sememangnya diketahui bahawa syariat Islam tidak akan mengharamkan sesuatu perkara melainkan perkara tersebut mendatangkan kemudharatan kepada manusia. Begitu juga dengan amalan riba. Ulama’ telah membentangkan banyak hikmah dan faedah pengharaman riba.


Antaranya, amalan riba akan membentuk manusia yang mementingkan kemewahan, ego dan menyembah harta. Sedangkan Islam membina hubungan sesama manusia di atas dasar saling bantu membantu. Keadaan ini akan membentuk individu yang saling menghormati dan kasihan belas antara satu sama lain. Harta hanyalah alat untuk menuju Allah Ta’ala, dan bukannya matlamat yang seharusnya dikejar manusia.

Selain itu, amalan riba akan menjadikan manusia malas berusaha mencari harta. Cukup sekadar duit masuk dengan hanya goyang kaki. Maka sedikit demi sedikit manusia akan meninggalkan medan perniagaan, pembuatan, perkilangan, apatah lagi kraf tangan. Sekiranya keadaan ini berterusan, sudah tentu akan mencacatkan pertumbuhan ekonomi negara serta mengurangkan modal insan yang berkualiti.

Di samping itu, jika dirujuk terhadap keperluan kewangan, sudah tentu orang miskin dan kurang keupayaan yang lebih banyak melaksanakan pinjaman. Dengan kewujudan riba atau faedah akan membebankan lagi golongan ini. Sudahlah tidak punya wang, dibebankan pula dengan tambahan bunga yang tidak mendatangkan kebaikan padanya. Manakala orang kaya yang terlebih keperluan akan lebih berlipat kali ganda kekayaannya. Bukankah ini zalim namanya.


Akhirnya, amalan riba ini akan mendatangkan risiko kepada negara dalam setiap lapangan kehidupan termasuk ekonomi, sosial dan politik. Akan berlakunya krisis ekonomi yang lembap dan mendatangkan inflasi yang mengakibatkan kenaikan harga barangan. Jurang antara golongan kaya dan miskin juga akan melebar di samping salah agihan kekayaan yang berlaku antara individu dalam masyarakat. Hal ini akan menjejaskan kestabilan sesebuah negara.


Wallahua'lam


Mukhlisah Mardhiah
11 Disember 2010M / 5 Muharam 1432H

Permai Hill

December 6, 2010

Doa Akhir dan Awal Tahun


Bismillah..

Alhamdulillah.. pejam celik, pejam celik.. dah sampai ke tahun baru umat Islam.. Allah masih pinjamkan nyawa ini untuk terus menambah amal + ibadah + kebaikan dalam trek hidup kita sebagai seorang hambaNya.

Lebih 1400 tahun yang dahulu, Rasulullah ada berkata kepada kita menerusi sahabatnya, amiirul mukminin, Saidina Umar ibn al-Khattab, kata baginda ; "Sesungguhnya amalan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap manusia itu mengikut apa yang diniatkannya. Maka, sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan sesiapa yang hijrahnya itu kerana dunia yang diingininya atau kerana seorang perempuan yang ingin dikahwininya, hijrahnya itu mengikut apa yang ia berhijrah kerananya". - HR Bukhari dan Muslim.

Di tahun baru ini, suka untuk saya memetik kalam Allah sebagai renungan kita menerusi ensiklopedia cintaNya, al-Furqan; "Apabila kamu telah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah!" -( Faiza 'azamta fatawakkal 'alallah )

Ayuh! Koreksi diri agar menjadi mukmin yang berjaya.
"Qad aflahal mukminuun!"

Ya Rabb, Ya Allah..
Jadikanlah tahun baru ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya..

Bila umur semakin bertambah, makin dekatlah saat muka menghadap ke tanah.. untuk dihadapkan kepada Allah. Ya allah, bantulah kami.


Mukhlisah Mardhiah
Bangi Perdana,
1 Muharam 1432 H




October 26, 2010

Khas Utk Mahasiswa yang nak / sudah gred

1st gathering 2nd batch IKIP- Yarmouk at Kuantan

Tajuk : Perkongsian
Tarikh : 23 Oktober 2010 (Sabtu)
Masa : 10.30 pagi – 5.00 petang
Tempat : IKIP 5, Rumah Ust. Rasyimi di Bkt Rangin, Casa Brilliant – lama
Kehadiran : 14 orang (9 Temerloh, 5 Kuantan), 2nd batch IKIP-Yarmouk
Bersama : Dr. Mahyuddin, Ust Rasyimi, Ustzh Husna

Bismillah.

Assalamualaikum.

Tulisan ini sekadar perkongsian buat teman-teman yang tidak hadir dan hadir lewat ke gathering 2nd batch IKIP- Yarmouk di Kuantan tempoh hari. Juga buat pembaca yang boleh ambil manfaat darinya. Catatan saya 6 muka surat. Moga sama-sama berkongsi manfaatnya.

Untuk awalnya, jutaan kemaafan dipinta kerana program ini disusun secara drastik. Khamis maklumkan, Sabtu program. Sebab itu temanya tidak formal. Tidaklah diwajibkan, namun atas tujuan utama : menziarahi ust Mahyuddin yang akan berangkat ke tanah suci pada 28 Oktober ini. Berkemngkinan selepas ini kita akan menyusun satu lagi program bersama Vice President Academic IKIP – En. Airul Amri, Programme Director SOIS – Ust. Rasyimi, Ust Muin dan beberapa lecturer SOIS yang lain. Insyallah.

6 buah kereta, tapi semuanya tak penuh. Teringat kenangan kita dulu-dulu masa tengah belajar. Selalu konvoi ramai-ramai. Seronoknya kalau semua ada, terasa kosong sebab ada korum yang tak terisi. Sungguh! Rindu.. Terima kasih pada yang dapat menghadirkan diri. Macam-macam perkongsian. Saya balik pun dengan motivasi. Alhamdulillah.

10.30 pagi, kami berkumpul di IKIP 5. Di pintu masuk terbentang banner “IKIP Idol”. Allah! Gelombang baru di IKIP. Apakah ini?? IKIP 5 sunyi sepi. Hari cuti, kan. Kera pun takde. Cuti juga agaknya. Cuma ada En. Rahim yang duk menghiburkan kami, macam dulu-dulu. Kebetulan dia bertugas hari itu.



Wasiat Dr. Mahyuddin di pejabat IKIP 5.

Asalnya plan nak jumpa ust Mahyuddin di rumahnya. Tapi disebabkan ust ada urusan di IKIP 5 pada hari itu, maka kami pun berkumpul di situ. Di pejabat sahaja. Muka ust semakin bulat. Makin bahagia agaknya. :p Sangat banyak perkongsian daripada Ust yang kami terima.

Kami bermula dengan setiap orang ditanya mengenai current activity masing-masing. Macam-macam lah yang keluar dari mulut. Kemudian ust menjelaskan sepatutnya 6 bulan sebelum pulang ke Malaysia kita sudah jelas dengan lorong mana yang akan kita pilih di Malaysia. Maksimum untuk berehat adalah selama 3 bulan sahaja. Kalau melebihi dari period tersebut, something wrong was happened.

Ada 3 pilihan hidup. 1) Bekerja. 2) Sambung belajar. 3) Full-time Relax.

1. BEKERJA

Bidang yang kita ceburi lebih menjurus kepada ‘policy maker’ dan bukannya ‘pelaksana polisi’. Contoh pelaksana polisi : yang bekerja di bidang marketing, sale, etc. Ramai orang boleh menjadi pelaksana polisi berbanding penggubal polisi. Dan biasanya graduan Timur Tengah lebih terdedah kepada teori ilmu dan hukum berbanding graduan di dalam bidang yang sama di Malaysia.

Maka, jawatan yang sepatutnya kita apply (bagi yang berminat untuk bekerja) adalah eksekutif atau penasihat atau pegawai shariah. Contoh : sekarang Suruhanjaya Sekuriti (SC) sedang mencari pakar di bidang Sukuk.

Jangan tertipu dengan jawatan kosong untuk ‘eksekutif kewangan’. Biasanya tawaran tersebut untuk bekerja di bidang ‘sale’. Kena capai tahap jualan tertentu dalam tempoh yang ditetapkan. Cukup bulan kena marah kalau tak capai target.


Cerita Pasal Resume

Semalam ust pesan untuk bawa resume bersama. Rupa-rupanya ust nak komen resume yang kita buat. Sebab peribadi seseorang boleh dibaca melalui tulisan dan cara dia mengurusnya.

[ I ] Cover Letter

Kalau mahu apply kerja, mestilah hantar resume. Namun kesilapan yang selalu dilakukan adalah tidak disertakan dengan ‘cover letter’. Boleh ditulis dalam bahasa Melayu. Lebih baik bahasa Inggeris.

Contoh tajuk : ‘Application for Shariah Post’.

Antara isinya, mesti dinyatakan kelulusan mana, pengkhususan apa dan hasrat untuk memohon jawatan apa. Kalau tidak, company tersebut akan serap di mana-mana bidang yang kosong.

Contoh : Saya ingin memohon jawatan penasihat shariah atau mana-mana yang berkaitan di syarikat tuan.

Pastikan resume di e-mailkan ke Human Resource (HR) dan bukannya cabang lain.


[ II ] Resume

Buat resume yang tersusun untuk memudahkan pembacaan majikan.
- Gambar boleh diletakkan di bahagian tepi.
- Susun maklumat di dalam satu row sahaja. Pembaca boleh scan terus ke bawah.
- Jika ada jadual, pastikan ada heading (kepala / tajuknya).
- Sebarang point yang melibatkan banyak tarikh, list kan yang latest dahulu.
- Boleh letak ‘expected income’ yang sesuai dengan bidang. (Biasanya diploma starting RM 1200, Degree RM1800 Master RM3000).
- Untuk bekerja, biasanya mereka tengok pengalaman. Jika tiada, mereka akan tengok extra-curricular activities (aktiviti ko-kurikulum) – antara ranking terawal yang akan diambil berat. CGPA tak pandang (jatuh ranking ke-10).
- Sertakan ‘refree’ – tempat rujukan. Tapi awas! Maklumkan dulu kepada tuan punya diri. Silap hari bulan, kalau dihubungi company mereka akan jawab ‘saya tak tahu saya adalah refree untuknya’. :p


[ III ] Follow up

Bagi sesiapa yang saje nak ‘test market’ (nak test dia ni laku atau tak), boleh hantar resume ke 10 company. Tapi peganglah betul-betul 4 daripadanya.

Cara follow up; selepas mail ke HR, selepas 2 minggu, jika tiada jawapan, call untuk dapatkan kepastian. Lebih baik sekiranya pergi sendiri ke company tersebut untuk ambil tahu perkembangan. Kesungguhan itu penting.

Biasanya, jika khidmat kita tidak diperlukan dalam masa terdekat, resume tersebut akan disimpan di dalam file company dalam tempoh 6 bulan. Kalau mereka nak pakai orang, file dibuka semula dan mungkin kita dipanggil. Namun, setelah tempoh 6 bulan, jika masih tiada jawapan, maka tiada lagi harapan untuk kita dipilih. Jadi, perbaharui resume anda dengan cara – hantar sekali lagi. Format yang sama pun tak mengapa.

Cerita Ust Din : 3 kali ust hantar resume ke IKIP.. 18 bulan tu!


Pilih kerja Kerajaan atau Swasta

Bagi yang berminat untuk kerja kerajaan, isi borang SPA 2 dan SPA 8. SPA 8 untuk Pahang, SPA 2 untuk Malaysia. Boleh pilih bahagian ekonomi atau perangkaan atau shariah, etc.

Untuk bekerja kerajaan punya 3 tapisan : Bertulis, verbal, dan kursus.

Biasanya yang dipilih adalah golongan pertengahan. Kata ust, yang dapat jawab semua betul atau banyak yang betul biasanya tidak ada harapan untuk dipilih. Sebab golongan ini biasanya ke bidang akademik.

Selain itu, boleh juga apply untuk bekerja dengan badan berkanun – bukan bawah kerajaan negeri, tapi ada kaitan dengannya. Contoh : Yayasan Pahang, di bawahnya Maahad Tahfiz Negeri.

Antara tempat yang boleh apply kerja : BNM, SC, IBFIM, ISRA.
Badan berkanun di Pahang : ASPA, PASDEC, YPPH.

2. SAMBUNG BELAJAR

Bagi yang berminat untuk sambung belajar, pilih untuk belajar full-time atau part-time. Sebaiknya jika pilih part time, pastikan waktu kelas disusun berdekatan supaya senang untuk ulang alik dari tempat kerja.

Ust sarankan untuk pilih coursework berbanding thesis. Lagipun graduan Timur Tengah memang kurang terdedah dengan methodologi penulisan dan research methodology. Jadi, pada awal-awal kelas (bagi yang pilih coursework) akan diajar method tersebut. Dan antara kelebihan lainnya, calon coursework boleh menghabiskan masternya dalam tempoh yang ditetapkan.

Gunakan waktu belajar Master untuk membina jaringan atau network. Ini kerana, jika kita ingin membuat phD kelak, kita bersendirian. Sekurang-kurangnya tempat rujukan dan kabel kita sudah berkembang. Sebab itu jika pilih coursework, sebaiknya pilih kelas bersama-sama dengan orang yang sedang bekerja. Boleh berkongsi pengalaman dengannya.

Pada sem pertama, setelah menerima supervisor, seharusnya terus berjumpa dengannya untuk kenal. Walaupun belum mula menulis, sebaiknya sediakan tajuk yang difikirkan untuk menulis sedari awal. Tak lah kelam kabut nanti.

Pilih universiti dan course yang sesuai. Bagi 1st class degree atau pelajar yang dapat ‘excellent’ dalam degree boleh terus apply phD tanpa Master. Cepat tapi lebih mencabar.


3. FULL-TIME RELAX

Ayat ust : duduk rumah, tunggu kena pinang.

Sungguhpun begitu, kalau betul lah pilih yang ke-3, janganlah lupakan terus perkara 1 dan 2 tadi. Sebab sampai satu tahap hidup bimbang kita akan menyesal dengan pilihan hari ini. Na’uzubillah.



Bersama PD SOIS, Ust Rasyimi di rumahnya.

Tiada apa aktiviti berat pun di rumah ust. Tapi ada makanan berat! :p Sekadar jejak kasih bersama ust. Macam-macam cerita keluar, macam-macam gambar ditunjuknya. Maklumlah, tahun ini ust ke Jordan 2 kali.

Dengar cerita junior di Jordan dapat RM1K seorang, menumpang tuah. Belum lagi ++ duit lain. Senyap-senyap je ye.. ^_^ Duit persatuan dah bertambah kan. Alhamdulillah. Bolehlah terbitkan dah artikel ekonomi yang kami tinggalkan dulu!  - siri 1. Korang sambung lah siri 2.

Ust kata : Takde pun 2nd batch ni yang hantar resume ke IKIP. Takde ke yang nak mengajar SOIS?? – DMI dan DFI sekarang ditempatkan di IKIP 1. Bulan 12 ni Insyallah ada 2 orang lecturer Master dari YU yang akan start mengajar di IKIP 5.



Bersama Lecturer Tersayang, Ustzh Husna.

6 biji kereta bergerak ke Casa Brilliat lama. Lepak di restoran berdekatan.

Ustzh makin jelita. ^_^ Kami sembang-sembang santai je, tapi berisi. Macam-macam topik yang disentuh. Pasal cita-cita, dakwah, investment, etc. Katanya best kerja di UMP. Lebih-lebih lagi bila dapat mengajar non-Muslim student. Boleh berdakwah kepada mereka juga. Walaupun 1 tempat dengan Ust Kamil tapi dah jarang jumpa. Masing-masing busy.

Sungguhpun begitu, kelebihan di IKIP; kita boleh close each other. Betul! Kita sangat bertuah ada lecturer seperti mereka.


Wallahu’alam.

Cukuplah sekadar di sini perkongsian ini. Biar semua dapat rasa apa yang kami rasa tempoh hari. Nak cerita perihal yang sama dekat setiap orang tak larat lah pula. Maka, inisiatif ini saya ambil bagi semua dapat manfaatnya. Seronok kalau semua ada. Tapi nak buat macam mana kan, memang susah.

Dah macam tulis laporan lah pula. Teringat kerja-kerja Setiausaha di Jordan dulu. Tu lah, dulu malas buat kerja.. :p

Ok. Akhir kata, moga dapat bersua dalam waktu terdekat ni. Yang penting – kita konvo sama-sama 13nov ni! C ya..

p/s : Perkara berbangkit : Alumni IKIP-Yarmouk. (Bila nak meeting?? Haha) Gathering setiap 5 tahun k! ;)


-Mukhlisah Mardhiah-

September 3, 2010

Ramadhan Kareem..


Bismillah...

Muslim mana yang tidak merasakan hangatnya kehadiran Ramadhan yang dinanti-nanti selama 11 bulan sebelumnya. Persediaan perlu dilakukan bukan sahaja untuk sambutan selepas Ramadhan (Syawal), bahkan sebelum dan semasa kedatangannya.

Ahlan Wasahlan ya Ramadhan.. ~ Selamat Datang Wahai Ramadhan..


Dari Abu Hurairah Radhiallahu 'Anhu, Nabi Shallallahu 'Alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

"Barang siapa yang solat malam pada Ramadhan kerana iman dan ihtisab (mengharapkan ganjaran dari Allah), maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu." (HR. Bukhari)


Bila sampai di bulan Rejab dan Sya'ban, Rasulullah berdoa..

«اَللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَ شَعْبَانَ وَ بَلِّغْنَا رَمَضَانَ وَ حَصِّلْ مَقَاصِدَنَا»

"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rajab dan pada bulan Sya’ban ini; sampaikanlah diri kami pada bulan Ramadhan; dan tunaikanlah keinginan-keinginan kami". (HR Ahmad)


Ya Ramadhaan.. Ya Syahru Tilawatul Quraan..
Wahai Ramadhaan, wahai bulan Tilawatul Quraan..

Ketika kehadirannya, para muslimiin berlumba-lumba mengerjakan kebaikan dan amal soleh. Amalan digandakan sehingga 10 ke 700 kali ganda. Al-Quran dibaca dan ditadabbur di mana sahaja. Berjuzu'-juzu' dihabiskan dalam sehari. Suara-suara qaari kedengaran di sana sini. Masjid-masjid dipenuhi dengan makmum tarawikh yang diimamkan haafiz, hamlatul quran (orang yang membawa al-quran). Siaran-siaran televisyen dan radio dipenuhi dengan program-program quran dan keagamaan. MaashaAllah. Alangkah indahnya jika setiap hari adalah hari-hari di bulan ramadhan..


Namun hari ini, fasa ke-3 Ramadhan telah tiba..

هُوَ شَهْرٌ أَوَّلُهُ رَحْمَةٌ وَوَسَطُهُ مَغْفِرَةٌ وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ

"Ramadhan : bulan AWALnya adalah RAHMAT, perTENGAHannya adalah keAMPUNAN dan akhirnya adalah keMERDEKAan dari API NERAKA". (HR Ibnu Khuzaimah)


Allahumma baarik lana fima baqiya min Ramadhaan..
~Ya Allah, berkatilah hari-hari Ramadhan kami yang masih berbaki ini..

Masih belum terlambat bagi sesiapa yang masih belum khatam al-Quran, bersedeqah, berqiamullail, memperbanyakkan amalan-amalan sunnah, memperbanyakkan doa ~ mustajab bagi yang berpuasa dan menggandakan amalan-amalan seharian yang lainnya.. sebelum Ramadhan ini berlalu lagi..


Moga Allah menggolongkan kita dalam golongan ahli lailatul qadr ~ khairun min alfi syahar.. - lebih baik dari 1000 bulan.

Diriwayatkan daripada 'Aisyah, doa yang paling afdhal ketika bertemu dengan Lailatul Qadr, berkata Rasulullah 'alaihi salam :

اللَّهُمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فاعْفُ عَنِّي

“Ya Allah, ya Tuhanku! Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang maha pemaaf. Engkau suka memaafkan (dosa hamba-hambaMu). Maka maafkanlah daku (yakni ampunkanlah dosa-dosaku)”. (Riwayat Imam at-Tarmizi)


Ya Zal Juudi wal ihsan, Narjuu 'afwaka wal ghufraan..
~ Kami harap ampunan dan kemaafan dariMU..

Semoga kita menjadi jiwa yang baru selepas berlalunya Ramadhan ini..

Wallahu'alam..


Mukhlisah Mardhiah

24 Ramadhan 1431H
03 September 2010M
11.32pm
Irbeed, Jordan..

*Mode Ramadhan 4 Negara bermula : Syria-Jordan-Oman-Malaysia*