December 16, 2010

Konsep Musyarakah (Perkongsian)

Konsep Musyarakah (Perkongsian)


Selain mudharabah, musyarakah juga merupakan salah satu bentuk produk di bawah kontrak perkongsian yang tersenarai di dalam institusi perbankan Islam. Dari segi bahasa, musyarakah atau syarikah bermaksud percampuran harta milik orang yang berlainan sehingga tidak dapat dibezakan antara satu sama lain.


Dari segi istilah, musyarakah adalah perjanjian yang dimeterai antara 2 pihak atau lebih sebagai rakan kongsi untuk berkongsi modal dan keuntungan dalam sesuatu perniagaan atau perusahaan. Sekiranya perusahaan mengalami kerugian, maka pembahagian kerugian mestilah berdasarkan modal masing-masing yang diketengahkan. Tidak disyaratkan modal semua rakan kongsi sama jumlahnya.

Di dalam aplikasi sistem perbankan Islam, bank bertindak sebagai rakan kongsi kepada pelanggannya dengan menyediakan pembiayaan atas konsep musyarakah tanpa mengenakan kadar faedah. Bank boleh membiayai perusahaan tersebut sepenuhnya atau sebahagiannya sahaja.


Ini bermakna, sekiranya perusahaan tersebut mengalami keuntungan, bank berhak menerima bahagian daripada keuntungan perusahaan yang bakal diperolehi kelak. Kadar perolehan keuntungan sesama rakan kongsi hendaklah dipersetujui semasa kontrak dimaterai. Manakala pelanggannya pula mendapat bahagian daripada keuntungan atas sebab pembiayaan peribadi yang disuntik masuk ke dalam perusahaan dan juga kerja serta pengurusan yang dilakukannya sendiri. Sebaliknya, jika perusahaan tersebut mengalami kerugian, maka setiap pihak perlu menanggung kerugian tersebut mengikut jumlah pembiayaan yang diketengahkan.



Musyarakah Mutanaqisah

Musyarakah mutanaqisah (perkongsian yang semakin berkurang) juga dikenali sebagai musyarakah muntahiah bitamlik (perkongsian yang diakhiri dengan pemilikan). Melalui konsep ini, bank dan pelanggannya berkongsi modal untuk mendapatkan sesuatu aset. Maka, pemilikan aset tersebut adalah ke atas kedua belah pihak. Aset tersebut akan menjadi milik penuh pelanggan apabila dia telah membayar kembali kesemua pembiayaan yang diketengahkan bank dalam tempoh masa yang ditetapkan secara berkala.

Sebagai contoh, Ina telah memohon pembiayaan atas kontrak musyarakah mutanaqisah untuk membeli sebuah banglow. Setelah mengenal pasti banglow yang ingin dibelinya, Ina membayar 10% daripada harga banglow tersebut sebagai deposit. Baki sebanyak 90% dibayar oleh bank. Maka Ina berkongsi milik dengan pihak bank ke atas banglow tersebut sebanyak 1 : 9 (satu nisbah sembilan).

Ina telah bersetuju untuk membayar kembali kepada pihak bank sebanyak 1% setiap bulan secara berkala untuk mendapatkan pemilikan penuh (kadar bergantung kepada kontrak yang dipersetujui di awal perjanjian). Maka, dalam tempoh itu pemilikan bank ke atas rumah tersebut akan berkurang, manakala pemilikan Ina akan bertambah. Di akhir kontrak, pemilikan rumah tersebut telah berpindah sepenuhnya ke atas Ina, menjadikan nisbah pemilikan 10 : 0.


Keputusan Majlis Penasihat Syariah

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dalam mesyuaratnya yang ke 53 bertarikh 29 September 2005 telah memutuskan bahawa produk pembiayaan berasaskan kontrak musyarakah adalah dibenarkan selagi tiada elemen jaminan modal dan/atau keuntungan oleh rakan kongsi ke atas rakan kongsi yang lain.


Keputusan tersebut adalah berdasarkan beberapa dalil keharusan musyarakah :

(i) Firman Allah menerusi Surah Saad : 24,

Maksudnya : “...dan sesungguhnya kebanyakan dari orang yang bergaul itu, setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, sedang mereka amatlah sedikit...” 35

Perkataan’al-khulatha’ dalam ayat di atas membawa maksud perkongsian. Berdasarkan ayat di atas, musyarakah merupakan syariat lama yang tidak dimansuhkan. Amalan ini telah sedia ada sejak zaman Nabi Daud dan tidak ditegah oleh Nabi Muhammad SAW. Namun, musyarakah perlu dilaksanakan secara adil dan berlandaskan Syarak.

(ii) Apabila Rasulullah SAW dilantik sebagai pesuruh Allah SWT, masyarakat Arab telah menjalankan mua`malah secara musyarakah dan Rasulullah SAW membenarkannya seperti sabda baginda:

“Pertolongan Allah SWT ke atas dua orang yang bersyarikat adalah selagi mana salah seorang daripada kedua-duanya tidak mengkhianati rakan kongsinya. Sekiranya salah seorang mengkhianati rakan kongsinya maka Allah SWT akan mengangkat pertolonganNya daripada kedua-duanya.” - Al-Daraqutni, Sunan al-Daraqutni, Mu’assasah al-Risalah, 2004, j. 3, h. 442, hadis no. 2934.

(iii) Terdapat riwayat sahabat Rasulullah SAW yang menyatakan tentang keharusan musyarakah seperti yang berikut:

“Keuntungan adalah berdasarkan apa yang telah disyaratkan dan kerugian adalah berdasarkan kadar harta (pihak yang berkongsi).” - Al-Zaila`i, Nasb al-Rayah li Ahadis al-Hidayah, Mu’assasah al-Rayyan, 1997, j. 3, h. 475.

“Kerugian adalah berdasarkan kadar harta, dan keuntungan adalah berdasarkan apa yang disyaratkan.” - Abdul Razzaq al-San`ani, Musannaf Abdul Razzaq, Al-Maktab al-Islami, 1403H, j. 8, h. 248.


(iv) Secara umumnya, ulama bersependapat dalam mengharuskan syarikat atau musyarakah, walaupun mereka berselisih pendapat mengenai jenis-jenis musyarakah yang dibenarkan.


Wallahualam.


p/s : tulisan berbahasa arab tidak dapat dimasukkan lagi buat masa ini atas masalah teknikal.





Mukhlisah Mardhiah

Permai Hill

10 Muharam 1432H / 16 Disember 2010M

11.59pm

No comments: