December 13, 2010

Justifikasi Pengharaman Riba dalam Islam

Justifikasi Pengharaman Riba dalam Islam

Sememangnya diketahui bahawa syariat Islam tidak akan mengharamkan sesuatu perkara melainkan perkara tersebut mendatangkan kemudharatan kepada manusia. Begitu juga dengan amalan riba. Ulama’ telah membentangkan banyak hikmah dan faedah pengharaman riba.


Antaranya, amalan riba akan membentuk manusia yang mementingkan kemewahan, ego dan menyembah harta. Sedangkan Islam membina hubungan sesama manusia di atas dasar saling bantu membantu. Keadaan ini akan membentuk individu yang saling menghormati dan kasihan belas antara satu sama lain. Harta hanyalah alat untuk menuju Allah Ta’ala, dan bukannya matlamat yang seharusnya dikejar manusia.

Selain itu, amalan riba akan menjadikan manusia malas berusaha mencari harta. Cukup sekadar duit masuk dengan hanya goyang kaki. Maka sedikit demi sedikit manusia akan meninggalkan medan perniagaan, pembuatan, perkilangan, apatah lagi kraf tangan. Sekiranya keadaan ini berterusan, sudah tentu akan mencacatkan pertumbuhan ekonomi negara serta mengurangkan modal insan yang berkualiti.

Di samping itu, jika dirujuk terhadap keperluan kewangan, sudah tentu orang miskin dan kurang keupayaan yang lebih banyak melaksanakan pinjaman. Dengan kewujudan riba atau faedah akan membebankan lagi golongan ini. Sudahlah tidak punya wang, dibebankan pula dengan tambahan bunga yang tidak mendatangkan kebaikan padanya. Manakala orang kaya yang terlebih keperluan akan lebih berlipat kali ganda kekayaannya. Bukankah ini zalim namanya.


Akhirnya, amalan riba ini akan mendatangkan risiko kepada negara dalam setiap lapangan kehidupan termasuk ekonomi, sosial dan politik. Akan berlakunya krisis ekonomi yang lembap dan mendatangkan inflasi yang mengakibatkan kenaikan harga barangan. Jurang antara golongan kaya dan miskin juga akan melebar di samping salah agihan kekayaan yang berlaku antara individu dalam masyarakat. Hal ini akan menjejaskan kestabilan sesebuah negara.


Wallahua'lam


Mukhlisah Mardhiah
11 Disember 2010M / 5 Muharam 1432H

Permai Hill

No comments: