July 9, 2010

Ahleen Ya Suria..

Bismillah.

Ahleen Ya Suria..

Alhamdulillah. Akhirnya hajatku dan sahabat untuk sampai di bumi Syam, Syria sebelum pulang ke Malaysia dikabulkan Allah. Walaupun mengikut perancangan asalnya, Yemen lebih menjadi pilihan. Kota Damsyiq, atau asalnya dari kalimah Dam Syaqiq (darah saudara kandung), merupakan antara kota tertua di dunia. Masakan tidak, selepas pertemuan semula Adam dan Hawa di bumi, di sinilah tempat mereka membesarkan Qabil dan Habil yang akhirnya membawa kepada peristiwa pembunuhan manusia yang pertama, di atas Jabal Qasiyuun.

“Jikalau ingin belajar bahasa Arab, belajarlah di Syria. Jikalau ingin belajar kitab, menuntutlah di Yemen”, begitulah kata-kata seorang teman sebelum kami ke sini. Atas sebab ketidakstabilan politik Yemen pada ketika itu, maka kami lebih cenderung memilih Syria, disamping kos ke sini dari Jordan agak murah, hanya menggunakan jalan darat berbanding ke Yemen perlu menggunakan jalan udara.

Inilah Kota Dimasyq yang disebut-sebut ramai manusia, kota yang punya 7 pintu masuk. Kota ini juga pernah menyaksikan kegemilangan pemerintahan Bani Umayyah. Lihat sahaja Masjid Umawi yang gah terbina di tengah Damsyiq dan Halab, bukti kemegahan Islam pada suatu ketika dahulu. Rasulullah juga pernah menjamin keamanan kota ini.


Hari Pertama dan Kedua

Alhamdulillah, kami sempat melewati sekitar Homs dan Dimasyq, menziarahi maqam para sahabat dan ahli Bayt Rasulullah. Antaranya :

1) Saidina Khalid Al-Walid
2) Abdul Rahman ibn Khalid, anak Saidina Khalid Al-Walid
3) Saidina ‘Ubaidillah ibn Umar Al-Khattab
4) Umar ibn Abdul ‘Aziz, di Homs
5) Syeikh Khalid an-Naqsyabandi
6) Ibn ‘Araby
7) Saidina Mu’awiyah ibn Abi Sufyan
8) ‘Abdul Malik ibn Marwan
9) ‘Abdullah ibn Ummi Maktum
10) Syeikh Muhammad Badruddin Al-Hasany, muhaddith
11) Ummu Habibah, isteri Rasulullah
12) Ummu Salamah, isteri Rasulullah
13) Saidina Bilal bin Rabah, muaddzin Rasulullah
14) ‘Aus as-Saqafi
15) Abi Abdullah Muhammad bin Abu Bakr
16) Sultan Mahmud Az-Zanki, (mimpikan Rasulullah ketika jasad baginda ingin diculik 2 Yahudi)
17) Abu Hurairah R.A
18) Umar ibn Abdul ‘Aziz, di Halab
19) Maqam Arba'in, peristiwa Habil dan Qabil

Di sesetengah tempat, keadaan agak menyesakkan, khususnya di kawasan yang didiami oleh puak Syiah. Sesekali anak mata terleka melihat gerak geri mereka yang agak berbeza daripada kebiasaan. Responnya cukup sekadar memandang sesama kami, kemudian tersenyum.

Sepanjang pasar yang agak sesak juga terdapat banyak maqam orang-orang soleh. Bak kata Arab, “ ‘Aady..” (biasalah..).. Di sini memang begitu. Di Mesir juga begitu. Baru 2-3 langkah perjalanan, bersua lagi dengan maqam yang seterusnya. Setengahnya terpelihara, setengahnya seolah-olah diabaikan.



Hari keempat

Alhamdulillah, mengikut rombongan Kak Sarah dan family, sempat juga kami menziarahi Ma’lula, Homs, Hama dan Halab. Antaranya :
1) Laluan lari Nabi Isa, di Ma’lula (kawasan kependudukan Nasrani)
2) Masjid Khaleed al-Waleed, di Homs
3) Kincir air, di Hama
4) Qal’ah Salahuddin dan Suqq, di Halab

Walapun hanya menziarahi beberapa tempat, namun disebabkan jarak satu tempat dengan tempat yang lain agak jauh, perjalanan kami yang bermula selepas Subuh itu berakhir pada jam 1 pagi. Sungguh-sungguh meletihkan.


*********

Masyarakat Arab Syria punya dialek percakapan yang lebih lembut berbanding masyarakat Arab di negara selainnya. Bahasa Arab Fushah juga lebih diterima dan digunakan berbanding bahasa Arab ‘Ammy (pasar). Setakat ini, tidak pernah lagi saya menjumpai orang Syria yang tidak pandai berbahasa Arab Fushah, sebagaimana saya menjumpainya di banyak tempat ketika di Jordan. Alhamdulillah.

Bercerita mengenai reka bentuk rumah masyarakatnya juga sangat unik. Pokok di dalam rumah??, biasalah.. dan biasanya panorama ini hanya terdapat di ‘Bayt ‘Araby’ (rumah lama Arab). Sesetengahnya pula punya sudut yang tidak beratap, menadah cahaya matahari terus dari langit. Unik.

Semoga dengan hari yang berbaki ini, saya dapat bertemu lagi dengan perkara yang tidak mungkin saya akan menjumpainya di Malaysia. Entah bila lagi akan menjejaki Dataran Syam ini..

Wallahu’alam


Mukhlisah Mardhiah
06 Julai 2010 (Selasa)
6.48 am
Rukn Deen, Jamiah Abu Nuur.


p/s : -Petang semalam ketika berjalan di area Bramkeh, saya ternampak ukuran suhu ketika itu adalah 53 darjah celcius. Benarkah???
- Maaf kepada kawan-kawan atau saudara mara (atau keluarga angkat, dan sesiapa yang menanti) yang tak sempat dimaklumkan tentang kelewatan kepulangan kami ke tanah air..

Cerita Tentang Jordan

Bismillah





Cerita Tentang Jordan



Majlis Konvo

Alhamdulillah, 24 Jun 2010, Stadium Madinah Hasan menyaksikan hari Konvokesyen Mahasiswa Jamiah Yarmouk untuk sesi 2009/2010 pada tahun ini. Walaupun hati sayu sepanjang majlis berlangsung, namun hari ini tetap termaktub di dalam lipatan sejarah seorang gaduan Universiti Yarmouk. Mendengar lagu kebangsaan Jordan, terasa merindui lagu Negaraku Malaysia. Melihat ibu-ibu kawan-kawan Arab menangis, terkenangkan ibu di Malaysia.

Keadaan padang sebelum majlis bermula.. Ribuan yang menanti detik bersejarah..


Telinga bingit mendengar lagu-lagu dan muzik Arab yang ke udara. Suasana padang penuh dengan mainan alat muzik dan tarian. Sorakan sabung menyabung di sana sini, mengalahkan suara mid yang disambungkan ke speaker gergasi. Tak cukup dengan itu, buih di spray merata, cebisan-cebisan kertas ditabur, tak ubah seperti majlis hari jadi kanak-kanak kecil. Sesekali geram terasa. Namun, situasi yang tidak lagi asing di bumi ini bakal dirindui semua.


Akan tetapi, gah nya majlis yang dilangsungkan di padang bola ini dan dihadiri oleh ribuan manusia, bukanlah bererti penamat kepada proses menuntut ilmu. Bahkan sifatnya hanya sementara, sekadar pembakar semangat.




Sempat bergambar tengah padang, majlis berakhir waktu Maghrib menjelma..

22 September 2008


Tarikh keramat seorang Malizi, batch ke-2 IKIP-Yarmouk. Selamat juga kaki dijejakkan di bumi Jordan, Negara Timur Tengah, membawa segunung harapan. Kadang-kadang tergelak sendirian bila memikirkan kembali perancangan Allah. Tidak pernah terlintas di hati untuk kembali mempelajari bahasa Arab selepas tamat sekolah, apatah lagi untuk menyambung pelajaran ke Timur Tengah. Malah, hati lagi mengatakan ‘tak nak’. Namun dek kerana sokongan dan bantuan emak abah, ustaz ustazah, dan kawan-kawan, akhirnya ku menerima tawaran ini ; “Bachelor of Shariah, Islamic Economic and Banking, Yarmouk University”. 1001 hikmahnya!




Inilah Jordan


Inilah Jordan. Negara yang tidak punya longkang (jangan baca sebagai point utama). Negara yang berisipadu agak luas sedikit berbanding Malaysia, namun kepadatan penduduknya hanya sekitar 6 juta, berbeza dengan kepadatan Malaysia yang menjangkau angka 28 juta manusia. Negera pengeluar zaitun ini, Baratnya Palestin, Timur dan Selatannya Saudi, Utaranya Syria dan Iraq.

Lecture? – Best! Macam-macam kisah. Kehadiran diwajibkan. Lebih 6 kali tidak hadir, tidak dibenarkan masuk peperiksaan. Satu kelas hanya sejam. Paling lama pun sejam suku (walaupun dalam jadual termaktub sejam setengah). Asal sahaja doktor lambat menamatkan kelas, pasti ada suara dari belakang yang meminta supaya kelas dihentikan. Mula-mula terpana juga kami. Dan hampir tergelak bila mengingati kembali gelagat pelajar Arab ketika musim peperiksaan. Hanya mampu menggelengkan kepala.

Yang paling penting, Sangat ramai doktor yang concern dengan pelajar asing, khususnya Malizi. Pendek kata, hubungan antara doktor dan pelajar amat akrab. Ketika di tahun pertama, kami pernah memanggil serang doktor Lughah ke rumah, supaya mengajar kelas tuisyen. Beberapa kelas-kelas tambahan lain juga diadakan khusus untuk Malizi. Beruntung dan ruginya lah..

“Urdun Awwalan” – Jordan First. Begitulah tagline yang diperkenalkan oleh Raja Abdullah Tsani yang sedang memerintah Jordan sekarang. Rakyatnya sangat patriotik dan sangat menyayangi raja mereka. Boleh dikatakan setiap pintu kedai dan rumah punya gambar raja mereka, apatah lagi di sepanjang jalan. Kami yang hanya merupakan ‘rakyat asing’ di Negara ini pun terkena tempiasnya. Rata-rata semuanya menghafal nama-nama raja yang pernah memerintah Jordan. Masakan tidak, semua universiti kerajaan mewajibkan pelajarnya mengambil subjek Pendidikan Kenegaraan (Tarbiah Wathaniah), dan Sains Ketenteraan (‘Ulum ‘Askary). Sains Ketenteraan dajar sendiri oleh askar Jordan yang berpangkat. Sepanjang kelas pasti ada askar yang mundar mandir bagi memastikan kami tidak tidur atau melakukan kerja selain memberikan tumpuan dan perhatian terhadap syarahan kelas. Aduh!


Nasi maqlubah, cuma di Jordan. Senarai menu paling hot.. nak buat pun rumit. ..bilalah dapat merasa lagi. (Dhai'ah Restaurant dlm kenangan :p )

Wa akhiran..


Terlalu banyak kisah suka, duka, pahit, manis sepanjang keberadaan kami di bumi ini. Hakikatnya 2 tahun bukanlah masa yang lama, sangat singkat. Namun, inilah antara kisah dan manfaat yang akan dibawa sehingga akhir hayat kami. Insyallah..


Untuk adik-adik dan sahabat yang tinggal, teruskan berjuang, dalam erti kata sebenar..

Wallahua’lam.



Yang merindui buah Tiin segar ketika Summer,

Mukhlisah Mardhiah
Damascus, Syria.