December 13, 2010

Riba VS Untung

Beza Antara Riba (faedah) dan Untung


Terdapat perbezaan antara riba dan keuntungan di dalam urusan jual beli dan perniagaan. Allah telah menghalalkan keuntungan yang diperoleh hasil daripada jual beli dan mengharamkan riba dalam urusan hutang.


Jika dilihat dari segi luaran, kedua-duanya merupakan pertambahan daripada modal asal. Sebab itu golongan musyrik di zaman Rasulullah mendakwa bahawa pertambahan pada harga asal di dalam urusan jual beli sama seperti pertambahan pada harga asal disebabkan pembayaran tertangguh (hutang). Oleh itu, Allah Ta’ala telah membidas dakwaan mereka dengan menurunkan ayat menerusi surah al-baqarah : 275.
....................



Antara perbezaan di antara pertambahan yang halal (untung) dalam perniagaan dan pertambahan yang haram (riba) adalah :


(i) Pertambahan dalam riba adalah upah disebabkan pembayaran tertangguh.

Namun, pertambahan dalam perniagaan imbalannya barang yang dibeli termasuk bayaran ke atas usaha untuk mendapatkan barang tersebut.


(ii) Pertambahan dalam perniagaan adalah pertambahan harta yang nyata antara dua barangan yang berlainan dan bermanfaat pertukarannya. Contohnya duit dan makanan.

Namun, pertambahan menerusi hutang pada hakikatnya tidak ada pertukaran yang berlaku. Apabila dua barang misli (yang serupa) ditukar, maka hukumnya perlu dikembalikan seperti mana ia, tanpa menambah atau mengurangkan kuantitinya. Tambahan pula, hutang biasanya sekali, akan tetapi riba berterusan tanpa henti selagi pembayaran penuh tidak dilaksanakan.


(iii) Perniagaan meliputi 2 bentuk risiko, iaitu risiko penurunan harga barang ketika penjual ingin menjualnya, dan risiko kerosakan barang ketika masih di dalam simpanan penjual.

Sedangkan urusan hutang dengan riba tidak melibatkan apa-apa risiko. Sekadar hutang untuk dibayar balik. Maka berbaloilah keuntungan diambil melebihi modal.


Secara kesimpulannya, pertambahan di dalam riba adalah haram kerana duit tidak boleh mencipta duit lain dengan sendirinya. Sedangkan pertambahan keuntungan adalah harus kerana Islam tidak mengakui keuntungan melainkan jika berpunca daripada pekerjaan yang terdedah kepada 2 risiko iaitu rugi atau untung.


Wallahua'lam




Mukhlisah Mardhiah
12 Disember 2010M / 6 Muharam 1432H
Permai Hill

No comments: