June 24, 2009

PEPERANGAN RASULULLAH


غزوة النبي

-PEPERANGAN RASULULLAH-

Bismillahirrahmnirrahim.

Umum mengetahui, antara faktor kejayaan penguasaan Islam ke atas dunia pada suatu masa dahulu adalah menerusi peperangan / jihad fi sabilillah. Bermula dari episod penghijrahan Rasulullah dan para sahabat ke kota Madinah, tempoh 10 tahun sebelum kewafatan baginda banyak dipenuhkan dengan siri-siri peperangan yang pelbagai.

Di sisi ulama’ Sirah, ilmu peperangan Rasulullah ‘Alaihi Salam dikenali sebagai ‘ilmu al-Maghazi’. Ilmu ini dihafal dan dipelihara dengan bersungguh-sungguh oleh para sahabat, kemudian diajarkan kepada generasi Salafus Soleh yang hidup selepas mereka. Ilmu ini tidak boleh dilupakan oleh umat Islam pada mana-mana generasi pun, kerana musuh Islam sentiasa mengintai peluang-peluang untuk melancarkan perang ke atas Islam, baik pelancaran perang bersenjata atau serangan pemikiran (Ghazwatul Fikr).

Telah berkata salah seorang daripada Salafus Soleh yang terkenal – Zainal Abidin Ali bin Hussein (cucu kepada sahabat – Saidina Ali) ; “Kami di ajar berkenaan Maghazi (kisah-kisah peperangan) Rasulullah sepertimana kami diajar surah-surah dari Al-quran”.

Sepanjang hayat baginda, Rasulullah ‘Alaihi Salam telah memimpin sebanyak 28 Ghazwah*. 9 daripadanya berlaku pertembungan dengan pihak musuh, iaitu perang Badar, Uhud, al-Muraisi’, Ahzab, Quraizah, Khaibar, Fathu Makkah, Hunain dan Thoif. Manakala 19 lagi tidak berlaku pertembungan disebabkan musuh melarikan diri.

Namun begitu, siri peperangan di dalam sejarah Islam tidak terhad kepada itu sahaja. Rasulullah telah mengutuskan labih daripada 50 Sariyah*. Menurut Ibnul Qayyim al-Jauzi, bilangan Sariyah jika dicampurkan dengan Bi’sah* hampir menjangkau 60 semuanya.

*Ghazwah : peperangan yang dihadiri oleh Rasulullah, dan baginda bertindak sebagai Amir (panglima).

*Sariyah : peperangan yang tidak dihadiri oleh Rasulullah, tetapi baginda melantik Amir untuk mengetuainya.

*Bi’sah : delegasi atau utusan yang dihantar oleh Rasulullah kerana sesuatu urusan.

Jika dihitung, jumlah peperangan yang diharungi oleh Rasulullah dan para sahabat (merangkumi Ghuzwah, Sariyah, dan Bi’sah) mencapai kiraan 80 kali. Dan purata tahunan generasi wahyu Ilahi tersebut berperang adalah sebanyak tujuh atau lapan kali setahun. MasyaAllah.

Jika diintai kalimah ‘jihad’ dari sudut bahasa, maknanya kuasa, upaya, sukar dan payah. Namun dari sudut isltilah, secara umumnya jihad memberi makna; “Segala daya usaha, segenap kekuatan yang dicurahkan untuk menegakkan hukum atau perintah Allah di atas muka bumi ini dan membersihkan segala Thagut yang menjadi penghalang kepada jalan dakwah”.

Jihad Umum ini mengandungi semua jenis jihad termasuklah jihad mali (harta), jihad tablighi (menyampaikan dakwah), jihad ta’limi (pembelajaran), jihad siyasi (politik) dan jihad qital (peperangan).

Tidak dinafikan terdapat pelbagai bentuk takrifan jihad di sisi ulama’. Adapun jihad dengan pengertiannya yang khusus diertikan sebagai qital fi sabilillah (berperang di jalan Allah) semata-mata mengharapkan keredhaan Allah tanpa ada sedikitpun tujuan duniawi.

Untuk itu, tiada alasan lagi untuk kita lari daripada Jihad. Rasulullah ‘Alaihi Salam telah menyatakan sabdanya menerusi riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah;

مَن ماتَ ولمْ يغزُ، ولم يُحَدِّثْ به نفسَهُ، ماتَ على شُعبةٍ من نِفاقٍ

Maksudnya : “Sesiapa yang mati dalam keadaan tidak berperang dan tidak pernah berkata pada dirinya untuk berperang (yakni berniat untuk berperang memepertahankan Islam), maka matinya itu satu cabang dari mati Munafiq”. Na’uzubillahi min zalik.

Kesan jihad Rasulullah ‘Alaihi Salam, seluruh tanah Arab telah berjaya disatukan di bawah panji-panji Islam. Pejuang Islam tika itu sangat digeruni bukan sahaja di sekitar Tanah Arab, malah mencakupi dua kuasa besar dunia pada masa itu iaitu Empayar Rom dan Parsi.

Perginya kekasih Allah menyambut seruan Ilahi. Namun roh, semangat dan perjuangan baginda ‘Alaihi Salam diteruskan oleh generasi mendatang sehingga Islam pernah menakluk 2 per 3 dunia. Penguasaan Islam melebar dari Timur ke Barat (China ke Perancis) dan dari Utara ke Selatan (Siberia ke Lautan Hindi). Semua ini disebabkan izzahnya (mulia) individu muslim dengan keagungan Islam.

Allahuakbar!


Wallhua'lam


Mukhlisah Mardhiah

Irbeed, Jordan.

24 Julai 2009 – Rabu – 2.44pm


Sinopsis buku; “Peperangan Rasulullah” oleh Ahmad Adnan bin Fadzil & Riduan Mohamad Nor.

..Teruskan kempen - ‘1 bulan, 1 buku’! :)..

June 22, 2009

Koreksi diri dengan "10 Muwassafat Tarbiah"


Terkesan diriku tika membaca artikel ini... - sifat-sifat Tarbiah ; As-Syahid Imam Hassan al-Banna.
Da'i kah aku??



Muslim yang ingin mempersiapkan diri dalam perjuangan Islam perlu memperbaiki dirinya agar sentiasa terkehadapan daripada manusia lain.


Risalah Islam yang syumul ini hendaklah difahami dengan membentuk diri yang syumul juga. Maka hendaklah diteliti di sini tentang aspek-aspek seorang da’ie Muslim dalam rangkanya untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna.


Sifat-sifat yang perlu ada pada diri ialah:

1) Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)

Dakwah adalah berat pada tanggungjawab dan tugasnya, maka di sini perlunya seorang da’ie itu tubuh badan yang sihat dan kuat. Rasulullah saw menitikberatkan soal ini, sabdanya:

"Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan."

Kita juga hendaklah sentiasa memeriksa kesihatan diri, mengamalkan riadah dan tidak memakan atau minum suatu yang boleh dan diketahui merosakkan badan.


2) Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)

Akhlak kita ialah Al-Quran dan ianya terserlah pada diri Nabi saw. Telah dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan seorang da’ie iaitu bersifat sensitif, tawadhu’, benar dalam perkataan dan perbuatannya, tegas, menunaikan janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dan lain-lain.


3) Fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri)

Seorang da’ie perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain perihalnya di samping perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis serta ulama’ yang thiqah.

Pesan Imam Banna:
"Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi."

Selain itu, seorang da’ie perlu mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, sentiasa mempelajari sirah, kisah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.


4) Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)

Seorang da’ie walaupun kaya, perlu bekerja. Dia juga tidak boleh terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan. Dalam keadaan tertentu, meletakkan jawatan dan meninggalkan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan yang diterima. Selain itu, dia hendaklah sentiasa melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan). Dalam soal kewangan, menjauhi riba dalam semua lapangan, menyimpan untuk waktu kesempitan, menjauhi segala bentuk kemewahan apatah lagi pembaziran dan memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam adalah beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan.


5) Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)

Seorang da’ie semestinya redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad saw sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir. Sentiasalah muraqabah kepada Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir. Di samping itu, jangan dilupakan tugas menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.


6) Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)

Seorang da’ie perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya, perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram dan tidak melampau atau berkurang (pertengahan) atau dengan kata lainnya bersederhana dalam setiap urusan dalam kehidupannya.


7) Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)

Seorang da’ie perlu mempunyai azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam di samping tidak menghiraukan apa orang lain kata dalam mempraktikkan Islam yang sebenarnya. Perlulah diingatkan bahawa dai'e mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.


8) Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)

Sentiasa beringat bahawa waktu, nilainya lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula. Mengimbau kembali sejarah di zaman dahulu, para sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.


9) Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)

Untuk manfaatkan waktu dengan baik, maka timbulnya keperluan kepada penyusunan dalam segala urusan. Gunakanlah segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.


10) Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)

Da'ie umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh jalan orang lain. Da'ie adalah penggerak kepada dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup dan terkuburnya Islam bergantung kepada da’ie. Amal Islam seorang da’ie ialah untuk menyelamatkan orang lain daripada kesesatan. Da'ie akan sentiasa merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.


..................................

Ya Allah, peliharalah kami dengan akhlak dan nilaian Islam dalam rangka untuk bergelar pejuang agamaMU..


copy-paste from my sis's blog ; http://motivasiqolbu.blogspot.com/



June 15, 2009

Sehari di Madinah Soreh, bersama bekas pendidikku..

Sehari di Madinah Soreh, bersama bekas pendidikku..

Bismillahirrahmanirrahim

Janjiku terhadap junior untuk mencoret lembaran sejarah di bumi ini akan ku tunaikan..

Alhamdulillah, semalam kami telah menziarahi Ustaz Firas Ali, guruku ketika di SMA Al-Khairiah, Temerloh dahulu. Beliau merupakan guru Arab yang telah banyak berjasa kepada para pelajar dalam menerapkan kecintaan terhadap bahasa Arab. Cuma faham-faham sahajalah, bila terserempak dengannya pasti pelajar-pelajar akan memilih jalan lain, takut kena bercakap Arab dengannya. Alahai, bilalah sikap pelajar Melayu nak berubah.

Aku adalah salah seorang anak didiknya bersama Ustazah Rahmah di dalam bahas bahasa Arab sekolah. Bersama-sama team bahasku dahulu – Syafiqah, Syam Irziati dan Maisarah. Itulah permulaanku untuk berjinak-jinak dengan bahasa syurga ini setelah sekian kali kecewa dengan markah subjek bahasa Arabku yang agak rendah berbanding subjek lain.

Terpancar kegembiraan pada suara ustaz bila aku menghubunginya seminggu lepas. Katanya telah 2 minggu dia berada di rumahnya, menjenguk ahli keluarga setelah berbulan lamanya tidak pulang. Begitulah rutin ustaz sedari 2002, bermulanya kisah beliau menjejakkan kaki di Malaysia; mengajar di SMA Al-Khairiah, Temerloh, kemudian menyambung phD di UKM dalam bidang aqidah. Setiap kali cuti panjang beliau akan pulang ke Jordan bertemu dengan ahli keluarga dan sanak saudaranya di sini.

Jam 2 petang kami seramai 11 orang (6 junior dan 5 supersenior) berkumpul di bab Iqtisod, Jami’ah Yarmouk, menanti kedatangan ustaz seperti yang telah dirancang. Tiba-tiba kedengaran hon dari sebuah van hijau. MasyaAllah, ustaz.. betapa masyarakat Arab sememangnya sangat-sangat meraikan tetamu. Lebar senyuman ustaz menyambut kami – bekas anak didiknya di luar Negara. Tak ku sangka pertemuan ini akan terjadi.

Perjalanan kami ke Madinah Soreh tidak lama. Hanya memakan masa lebih kurang 20 minit. Bandar ini merupakan pusat pertanian Negara Jordan. Banyak tanaman-tanaman gandum di sepanjang perjalanan. Kadang kala diselangi dengan pepohon bamia (kacang bendi). Suasana di Madinah Soreh ini tidak sama dengan Hijazy, tempat kami tinggal. Tempatnya aman dan terpelihara serta jauh dari kesibukan kota.

Kedatangan kami disambut baik dan penuh layanan oleh isteri, anak-anak dan adik beradiknya. Memang begitulah masyarakat Arab, sehinggakan kadang kala habis semua adik beradik dan jiran tetangga mereka turut sama meraikan kami sebagai tetamu. Banyak perkara yang kami bualkan bersama setelah hampir setahun tidak berjumpa. Banyak juga tips-tips belajar yang kami peroleh daripada ustaz. Sekali dua perbualan kami diselangi dengan keletah manja dan nakal oleh permata-permata ustaz; Bara’ah, Jana, Ruqayyah, Khadijah, Hammam dan Muhammad Al-Faateh.

Bila ditanya mengenai kos hidup, ustaz amat memahami kami pelajar Malizi di sini. Masakan tidak 1 Jordan Dinar (JD) bersamaan dengan lebih kurang RM5.00. Perbelanjaan kami untuk pelajar yang duduk di sakan (asrama) untuk kediaman sahaja lebih kurang 150JD/bilik/2 orang. Seorang = 75JD x 5 = RM375 setiap bulan. Bayaran itu tidak termasuk lagi makan, pakai, buku, dan lain-lain. Namun kehidupan sebegini banyak mengajar kami untuk mengatur perbelanjaan dengan cermat. Moga-moga bertambah kesyukuran kami kepada Allah bila mengenangkan kami antara ribuan pelajar tajaan yang bertuah.

Ustaz ada mengutarakan idea, menyuruh kami tinggal di kawasan perkampungan. Bahasa Arab nya lebih terpelihara. Apatah lagi budaya dan muamalah sesama masyarakat lebih baik. Kos sara hidup pun tidaklah setinggi di Bandar. Cuma kos pengangkutan sahajalah yang bertambah. Sifirnya begini; makin dekat sesebuah kediaman dengan jami’ah, makin meningkatlah kos kediaman tersebut. Namun faktor-faktor lain harus difikirkan.

Jika di Bandar setiap masa tidak boleh alpa, berhati-hati dengan semua orang yang berada di sekeliling. Setakat ini banyak juga kes pelajar Malizi – perempuan yang diganggu, diikut oleh lelaki Arab samada secara berjalan kaki atau berkenderaan. Ada juga kes samun bersenjata, dan sebagainya. Tapi rasanya risiko sebegini di mana-mana pun boleh berlaku jika terleka, hatta di Malaysia. Semasa di semester satu dahulu, Dr. Mufleh (pensyarah subjek Nuqud wa Bunuk merangkap pengurus Bank Islamy Jordan) seringkali menasihati kami supaya berjalan mestilah dengan satu matlamat. Jangan bergurau senda di jalanan. Apatah lagi berlawak jenaka. (Malizi memang terkenal dengan gurau senda sesama kawan-kawan tika di jalanan – kawan Arab kata). Pendek kata, tunjukkan muka confidence anda dan berani walau di mana anda berada. Yang penting; Innallaha ma’ana..

Satu lagi budaya Arab yang sangat-sangat memuliakan tetamu ;- anda pasti tidak boleh pulang awal ke rumah jika menziarahi keluarga Arab. Paling kurang kena menghabiskan separuh hari bersama mereka. Kadang kala ada juga kawan-kawan yang ditahan untuk tidur semalaman di rumah kawan-kawan Arab mereka. (bezanya dengan orang melayu; mesti berkias ‘bila la orang ni nak balik’..- tapi tak semua macamtu, kan..)

BAB MAKAN. Hurm, jangan cakap la. Mula-mula kedatangan kami mereka hidangkan air. Kemudian makan nasi; maqlubah la biasanya. Maqlubah dihidangkan di dalam sebuah talam bersama dengan 3 ekor ayam. Nasi Arab ni ada macam-macam jenis; maqlubah, kabsah, mansaf, mandy, sawany, beriani, dll. Maqlubah is the famous one. Tidak kira la apa jenis pun nasinya, pasti dihidangkan bersama-sama dengan salatah (ala-ala acar). Kadangkala bersama dengan laban (peringkat susu ala-ala yogurt). Nasi makan dengan susu?? – cuba la dulu!

Pusingan ke-2; Kemudian kami dihidangkan air teh. Kadang-kadang dicampur dengan maramia atau na’na’. – Teringat ketika kelas tambahan bahasa Arab bersama Dr. Abu Dalwu, pensyarah yang pernah menghabiskan 2 tahun di UK. Beliau sangat hairan dengan hidangan teh yang disaji oleh Malizi. Warnanya cair tidak sepekat teh Arab. Seuncang teh malizi untuk satu teko, tapi seuncang teh Arab hanya untuk secawan..

Pusingan ke-3; kami dihidangkan dengan pencuci mulut – beraneka buah-buahan; ja’bir, mishmash, khauh, durraq, tuffah, dll. Lastly sebelum balik, kami disajikan dengan air kopi. Kopi arab semestinya tidak sama dengan kopi malizi. Tapi disebabkan keluarga ust firas pernah tinggal setahun di Malaysia, mereka pun telah memahami budaya orang Melayu; budaya makan dalam pinggan, dan adat minum kopi ditambah gula!

Kami senang hati dengan ziarah ini. Esok ustaz akan pulang ke Malaysia, meneruskan kembali tugasnya sebagai pendidik ummah di sana. Khabarnya ustaz akan dipindahkan ke STA Sultan Abu Bakar @ Kulliyyah, Pekan bermula Jun ini. Beruntunglah mereka, bertambah lagi ustaz Arab di sana.

Terima kasih atas segalanya, ustaz…

Doakan kami kher-kher belaka hendaknya ..

Wallahua’lam


p/s; moga tulisan ini ada manfaatnya..


Mukhlisah Mardhiah

16 Jun 2009 – 12.49am

Memory in Madinah Soreh, Irbid, Jordan


June 13, 2009

Debu-debu Dataran Syam


Debu-debu Dataran Syam

Bismillahirrahmanirrahim

Entri ini khas ditulis buat adik-adik (ops, silap.. kita sebaya.. ;) – junior-junior yang bakal menapakkan kaki di tanah yang sama kami berdiri ini.


Saat pertama flight itu menyempurnakan pendaratannya, mata kami tertancap dek pemandangan-pemandangan yang jauuh bezanya dari tanah air tercinta, Malaysia. Buat pertama kalinya debu-debu dataran Syam mengenai persalinanku. Ya, tanah ini – Jordan.. Bumi ini lah yang akan menjadi sebahagian dari trek pengembaraan dalam sebuah episod kehidupan. Di sinilah kami akan mengukir sejarah yang bakal terlakar di atas helaian ensiklopedia hidup buat selamanya.

Raut wajah ayahanda dan bonda tercinta semalam tika menghantar anakanda tersayang di lapangan terbang, penuh dengan impian yang menjulang, masih segar di ingatan. Skrin itu, sesaat dua seringkali bermain-main di kotak fikiran. Hari ini anakanda telah sampai di sini, di bumi ini, di tanah yang penuh dengan sejarah para Nabi. Akan ku semat impianmu erat di sisiku, bersama-sama melalui hari-hari mendatang dalam hidupku.

Selesai urusan di pintu masuk Lapangan Terbang Amman, kami di sambut baik oleh beberapa orang senior. Ya, inilah adik-beradikku di sini. Walau ku tahu mereka tidak akan dapat menggantikan tempat kakak dan adikku, aku tetap menerimanya. Kerana di sini – kita sekeluarga! Tiada lagi ayah bonda yang akan mengingatkan kita, Cuma sesekali.. itupun hanya di corong telefon. Tiada lagi gurauan nakal dan pergaduhan kecil dengan kakak dan adik, kerana ku tahu.. berjauhan itu akan memutikkan rindu dan membuahkan sayang. Namun, jauhnya kita – itulah yang menjadi pendorongku untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.

Seusai menghimpun bagasi di perut bas, kami dihidangkan dengan taklimat ringkas yang disampaikan oleh Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia, Jordan, memenuhi perjalanan ke satu tempat yang tidak kami ketahui – Irbid. Kata mereka, perjalanan ini memakan masa selama 2 jam. Masa ini kami manfaatkan, melebarkan pandangan ke luar, mengamati bumi yang penuh bersejarah. Jika dulu, tidak pernah terlintas di mindaku untuk sampai ke sini. Apatah lagi dengan tujuan belajar di negara orang. Melihat dengan mata kepala sendiri, dan merasai dengan hati nurani sendiri, langsung tiada persamaannya dengan melihat dari kaca televisyen, dan mendengar cakap-cakap orang.


Sesekali kami berpandangan dan tersenyum bila mendengar suara-suara halus dari belakang..

“Subhanallah, gemuknya kambing-kambing kat sini…”

“Eeii, rumah-rumah tu bentuk kotak-kotak..”

“Sana.. sana.. khemah Arab Badwi, binatang ternak sume ada..”

“Ya Allah, pakcik ni bawak bas, macam nak race kat litar Sepang. Pakcik, kami ni tak kahwin lagi!”..

..macam-macam..


Dari Bandar, melalui tanah lapang, di ikuti kawasan perkampungan, masuk kembali ke Bandar, tibalah kami di Irbid – Bandar kedua terbesar merangkap bandar perindustrian dan pertanian Negara Jordan. Kawasan ini merupakan tumpuan anak-anak perantau dari Malaysia menuntut ilmu– hampir 500 orang ramainya, berbanding di Amman, Mafraq dan Mu’tah. Bas dihentikan betul-betul di hadapan kediaman kami – Sakan Baitut Thalabah al-Jami’iyah. Di sini kami disambut oleh lebih ramai senior. Kami diminta untuk bergegas, mengambil kunci dan meninggalkan bagasi di kamar. Hanya barang yang perlu sahaja akan dibawa ke rumah mentor. Rencananya begitulah; pelajar-pelajar yang baru sampai akan menginap beberapa hari di rumah mentor untuk membiasakan diri dengan suasana dan persekitaran, berkongsi cerita dan pengalaman, serta diajar cara-cara berinteraksi dengan Arab secara LIVE.

Hari ini 7 Septemper 2008, bersamaan 7 Ramadhan 1429H. Hari pertama kami berbuka puasa di ‘luar negara’. Keadaan agak berserabut kerana azan Maghrib sedang berkumandang, sedangkan kami masih belum siap dengan perkemasan kami. Senior membawa kami ke Bait Mariatul Qibtiah untuk berbuka puasa. Oh, rupa-rupanya di sini semua rumah penuntut Malaysia ada namanya yang tersendiri. Hidangan istimewa hari ini adalah nasi ayam dan air teh. Alhamdulillah, dapat juga melegakan tekak yang sangat kering akibat cuaca panas di sini. Cuaca di Jordan sudah tentu tidak sama dengan cuaca di Malaysia. Anginnya panas. Panasnya pula kering. Kami cuba membiasakan diri menelan beras-beras yang rasanya sangat berbeza dari beras-beras di Malaysia. Begitu juga dengan air teh yang unik. Rupanya-rupanya teh di sini bukan seperti di Malaysia. Ada saja campurannya – daun na’na’, maramia, dan sebagainya. Hurm, permulaan yang menarik..

Esoknya kami di bawa bersiar-siar di sepanjang Syari’ Jami’ah. Destinasi pertama ke Money Changer (Sorafah) – menukar duit-duit dollar kepada Jordan Dinar. Tika itu ekonomi dunia sedang berkecamuk. Sistem ekonomi konvensional telah menunjukkan tanda-tanda kelemahannya. Bank-bank Islam dan islamik kaunter telah banyak dibuka hatta di Eropah. Tempiasnya satu dunia merasakan keperitannya. Peritnya berkiblatkan dollar Amerika sejak berkurun lamanya. Harga barang melambung tinggi. Tukaran mata wang asing senantiasa tidak stabil dan berubah-ubah. Dan semestinya kami juga mempelajari sesuatu daripada keadaan ini.

Kali pertama menjejakkan kaki di pasar, mulut rasa terkunci. Aku hampir tidak memahami kesuluruhan percakapan masyarakat Arab di sini. Penggunaan bahasa Arab ‘Ammi sangat meluas. Langsung tidak membenarkan pemikiranku untuk mentahsinkan bahasa Arab Fushah di sini. Namun itu semua tidak menjadi alasan. Kemahiran mendengar dan memerhati yang diajar oleh pensyarah di IKIP dahulu ketika ini sangat membantu kami. Senior juga banyak membantu. Hari pertama sahaja sudah berpuluh kalimah baru yang kami pelajari. Buktinya, hari kedua di Jordan sudah boleh ke pasar sendiri, walaupun masih merangkak menyusun ayat namun itu tidak menjadi halangan. Alhamdulillah. Dengan keberkatan bulan Ramadhan, Allah memudahkan perjalanan hidup kami.

Kami mula berjinak-jinak dengan situasi di sini, cuba mengadaptasi budaya Arab di dalam kehidupan seharian. Teringat aku akan pesanan ustaz Fared; kalau kita ingin menguasai bahasa segolongan masyarakat, kita mesti berjinak-jinak dengan budaya masyarakat tersebut. Mind set memang penting. Banyak perkara yang ku pelajari di sini, dan kini debu-debu Dataran Syam terasa tidak asing lagi.

Wallahua’lam.


Mukhlisah Mardhiah

13 Jun 2009 – Sabtu

12.57 am

Sakan Baitut Thalabah al-Jami’iyyah.

June 12, 2009

Imtihan Duniawi dah habis, Imtihan Ukhrawi tak pernah putus..


Busynya Irbid kebelakangan ni. Ramai Malizi keluar masuk maktabah saban hari, dengan buku yang tak pernah lekang dari tangan. Alhamdulillah, dengan pertolongan Allah Yang Maha Besar kita telah berjaya menamatkan imtihan duniawi di jami’ah. Insyallah, berkat juhud sahabat-sahabat Allah akan balas dengan natijah yang setimpal. Yang berjaya, tahniah dan terus maintain or tingkatkan prestasi. Yang terkandas, cuba lagi lain kali. Jangan putus asa, Allah tak suka. Yang dah selamat gred pula, Mubarak! Akhirnya tercapai juga cita-cita kalian bergelar siswazah. Tahun ini menjadi saksi grednya batch pertama pelajar iqtisod hasil usahasama Kolej IKIP-Universiti Yarmouk, begitu juga senior-senior JUST dan senior-senior Yarmouk lain.. Tahniah-tahniah, takde yang tercicir pun.. Alhamdulillah. Moga kalian berjaya di medan perjuangan yang berikutnya pula.


Teringat ana pada seorang kawan (Yarmouk) bila disoal oleh adik-adik JUST, “Apa perasaan akak dah habis exam awal”, kawan ana tu hanya tersenyum dan jawab, “Ntah la dik, imtihan duniawi memang la dah habis, tapi imtihan ukhrawi tak pernah putus..”. Ana jadi terberfikir. Betul juga, ujian yang Allah nak bagi kadang-kadang bertimpa-timpa. Untuk apa?? Of course la untuk upgrade kualiti diri dan iman, itupun depend macamana kita menghadapinya.


Cuba kita compare; Kalau nak menghadapi imtihan di jami’ah, kita sanggup tak tidur malam, bersengkang mata dan berhempas pulas, menghafal dan membaca berulang kali, kadang tu makan minum pun dah tak kesah. Yang bercouple stop kejap time exam, nak fokus la katakan, macam-macam fi’il la. Masa ni la nak sibuk minta maaf zahir batin dari semua orang, bimbang terhijab masa imtihan. Semua ini untuk apa? Of course sebab nak dapat result yang gempak. Nanti boleh gred dengan pointer yang tinggi, kan..


Sebaliknya apa yang kita buat unuk imtihan ukhrawi?? Allah uji dengan result yang rendah kita melenting, doktor dan kawan-kawan yang tak bersalah pun kita salahkan. Bila dah marah, habis kerusi, meja, pintu dan barang-barang lain disepak terajang dan dihempasnya. Tak terfikir ke sebenarnya tu salah kita sendiri, sebab tu la Allah balas result kita sebegitu. Mungkin bukan sebab juhud kita kurang, tapi sebab kita kurang mengadu dan minta dengan Allah. Yang kita set dalam minda, hanya doktor yang bagi aku markah. Padahal segala yang kita peroleh hanyalah disebabkan rahmat Allah semata.


Apa yang dah kita buat untuk dapatkan akhirat ye?? Sanggup tak tidur malam untuk berborak-borak (baca : mengadu) dekat Allah. Beribadah sepanjang waktu sampai terlupa makan dan minum, apatah lagi menonton dan mendengar lagu. Bila orang buzz ym dan sms tidak dibalasnya kerana terlalu sibuk berurusan dengan Allah. Masalah sesama manusia pasti tidak akan dia timbulkan, bimbang nanti ada gap pula bila nak mengadap Allah, apatah lagi menghabiskan masa berbual-bual dengan bukan sejantina kerana suka-suka atau hanya kerana nak meramaikan ‘kenalan’. Hurm, ada ke orang macamtu ye..


Untuk itu, marilah kita sama-sama berfikir dan koreksi minda. Asal menuntut ilmu itu adalah makrifatullah. Namun sehingga saat ini, adakah ilmu yang kita peroleh cukup untuk kita kenali Allah. Jangan pula semakin naik tahun, semakin berilmu, tapi semakin jauh dengan Allah. Na’uzubillah. Kalau apa yang kita belajar itu ilmu fardhu ain, teruskanlah mendalaminya dan praktikkan mana yang mampu. Tapi kalau apa yang kita belajar itu ilmu fardhu kifayah, jangan ingat kita tidak dapat memberi manfaat pada masyarakat. Kerana semua ilmu itu asalnya daripada Allah, untuk apa?? – of course untuk kita sampai kepada Allah.


Wallahu’alam.


Mukhlisah Mardhiah

02 Jun 2009 - 'end of imtihan' mode

314 - Syari' Jami'ah


p/s;- Artikel ini telah diterbitkan di dalam majalah Volition 2, PERMAI (Persatuan Mahasiswa Malaysia, Jordan).. sekadar berkongsi dengan semua...