December 16, 2010

Konsep Musyarakah (Perkongsian)

Konsep Musyarakah (Perkongsian)


Selain mudharabah, musyarakah juga merupakan salah satu bentuk produk di bawah kontrak perkongsian yang tersenarai di dalam institusi perbankan Islam. Dari segi bahasa, musyarakah atau syarikah bermaksud percampuran harta milik orang yang berlainan sehingga tidak dapat dibezakan antara satu sama lain.


Dari segi istilah, musyarakah adalah perjanjian yang dimeterai antara 2 pihak atau lebih sebagai rakan kongsi untuk berkongsi modal dan keuntungan dalam sesuatu perniagaan atau perusahaan. Sekiranya perusahaan mengalami kerugian, maka pembahagian kerugian mestilah berdasarkan modal masing-masing yang diketengahkan. Tidak disyaratkan modal semua rakan kongsi sama jumlahnya.

Di dalam aplikasi sistem perbankan Islam, bank bertindak sebagai rakan kongsi kepada pelanggannya dengan menyediakan pembiayaan atas konsep musyarakah tanpa mengenakan kadar faedah. Bank boleh membiayai perusahaan tersebut sepenuhnya atau sebahagiannya sahaja.


Ini bermakna, sekiranya perusahaan tersebut mengalami keuntungan, bank berhak menerima bahagian daripada keuntungan perusahaan yang bakal diperolehi kelak. Kadar perolehan keuntungan sesama rakan kongsi hendaklah dipersetujui semasa kontrak dimaterai. Manakala pelanggannya pula mendapat bahagian daripada keuntungan atas sebab pembiayaan peribadi yang disuntik masuk ke dalam perusahaan dan juga kerja serta pengurusan yang dilakukannya sendiri. Sebaliknya, jika perusahaan tersebut mengalami kerugian, maka setiap pihak perlu menanggung kerugian tersebut mengikut jumlah pembiayaan yang diketengahkan.



Musyarakah Mutanaqisah

Musyarakah mutanaqisah (perkongsian yang semakin berkurang) juga dikenali sebagai musyarakah muntahiah bitamlik (perkongsian yang diakhiri dengan pemilikan). Melalui konsep ini, bank dan pelanggannya berkongsi modal untuk mendapatkan sesuatu aset. Maka, pemilikan aset tersebut adalah ke atas kedua belah pihak. Aset tersebut akan menjadi milik penuh pelanggan apabila dia telah membayar kembali kesemua pembiayaan yang diketengahkan bank dalam tempoh masa yang ditetapkan secara berkala.

Sebagai contoh, Ina telah memohon pembiayaan atas kontrak musyarakah mutanaqisah untuk membeli sebuah banglow. Setelah mengenal pasti banglow yang ingin dibelinya, Ina membayar 10% daripada harga banglow tersebut sebagai deposit. Baki sebanyak 90% dibayar oleh bank. Maka Ina berkongsi milik dengan pihak bank ke atas banglow tersebut sebanyak 1 : 9 (satu nisbah sembilan).

Ina telah bersetuju untuk membayar kembali kepada pihak bank sebanyak 1% setiap bulan secara berkala untuk mendapatkan pemilikan penuh (kadar bergantung kepada kontrak yang dipersetujui di awal perjanjian). Maka, dalam tempoh itu pemilikan bank ke atas rumah tersebut akan berkurang, manakala pemilikan Ina akan bertambah. Di akhir kontrak, pemilikan rumah tersebut telah berpindah sepenuhnya ke atas Ina, menjadikan nisbah pemilikan 10 : 0.


Keputusan Majlis Penasihat Syariah

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dalam mesyuaratnya yang ke 53 bertarikh 29 September 2005 telah memutuskan bahawa produk pembiayaan berasaskan kontrak musyarakah adalah dibenarkan selagi tiada elemen jaminan modal dan/atau keuntungan oleh rakan kongsi ke atas rakan kongsi yang lain.


Keputusan tersebut adalah berdasarkan beberapa dalil keharusan musyarakah :

(i) Firman Allah menerusi Surah Saad : 24,

Maksudnya : “...dan sesungguhnya kebanyakan dari orang yang bergaul itu, setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, sedang mereka amatlah sedikit...” 35

Perkataan’al-khulatha’ dalam ayat di atas membawa maksud perkongsian. Berdasarkan ayat di atas, musyarakah merupakan syariat lama yang tidak dimansuhkan. Amalan ini telah sedia ada sejak zaman Nabi Daud dan tidak ditegah oleh Nabi Muhammad SAW. Namun, musyarakah perlu dilaksanakan secara adil dan berlandaskan Syarak.

(ii) Apabila Rasulullah SAW dilantik sebagai pesuruh Allah SWT, masyarakat Arab telah menjalankan mua`malah secara musyarakah dan Rasulullah SAW membenarkannya seperti sabda baginda:

“Pertolongan Allah SWT ke atas dua orang yang bersyarikat adalah selagi mana salah seorang daripada kedua-duanya tidak mengkhianati rakan kongsinya. Sekiranya salah seorang mengkhianati rakan kongsinya maka Allah SWT akan mengangkat pertolonganNya daripada kedua-duanya.” - Al-Daraqutni, Sunan al-Daraqutni, Mu’assasah al-Risalah, 2004, j. 3, h. 442, hadis no. 2934.

(iii) Terdapat riwayat sahabat Rasulullah SAW yang menyatakan tentang keharusan musyarakah seperti yang berikut:

“Keuntungan adalah berdasarkan apa yang telah disyaratkan dan kerugian adalah berdasarkan kadar harta (pihak yang berkongsi).” - Al-Zaila`i, Nasb al-Rayah li Ahadis al-Hidayah, Mu’assasah al-Rayyan, 1997, j. 3, h. 475.

“Kerugian adalah berdasarkan kadar harta, dan keuntungan adalah berdasarkan apa yang disyaratkan.” - Abdul Razzaq al-San`ani, Musannaf Abdul Razzaq, Al-Maktab al-Islami, 1403H, j. 8, h. 248.


(iv) Secara umumnya, ulama bersependapat dalam mengharuskan syarikat atau musyarakah, walaupun mereka berselisih pendapat mengenai jenis-jenis musyarakah yang dibenarkan.


Wallahualam.


p/s : tulisan berbahasa arab tidak dapat dimasukkan lagi buat masa ini atas masalah teknikal.





Mukhlisah Mardhiah

Permai Hill

10 Muharam 1432H / 16 Disember 2010M

11.59pm

December 13, 2010

Riba VS Untung

Beza Antara Riba (faedah) dan Untung


Terdapat perbezaan antara riba dan keuntungan di dalam urusan jual beli dan perniagaan. Allah telah menghalalkan keuntungan yang diperoleh hasil daripada jual beli dan mengharamkan riba dalam urusan hutang.


Jika dilihat dari segi luaran, kedua-duanya merupakan pertambahan daripada modal asal. Sebab itu golongan musyrik di zaman Rasulullah mendakwa bahawa pertambahan pada harga asal di dalam urusan jual beli sama seperti pertambahan pada harga asal disebabkan pembayaran tertangguh (hutang). Oleh itu, Allah Ta’ala telah membidas dakwaan mereka dengan menurunkan ayat menerusi surah al-baqarah : 275.
....................



Antara perbezaan di antara pertambahan yang halal (untung) dalam perniagaan dan pertambahan yang haram (riba) adalah :


(i) Pertambahan dalam riba adalah upah disebabkan pembayaran tertangguh.

Namun, pertambahan dalam perniagaan imbalannya barang yang dibeli termasuk bayaran ke atas usaha untuk mendapatkan barang tersebut.


(ii) Pertambahan dalam perniagaan adalah pertambahan harta yang nyata antara dua barangan yang berlainan dan bermanfaat pertukarannya. Contohnya duit dan makanan.

Namun, pertambahan menerusi hutang pada hakikatnya tidak ada pertukaran yang berlaku. Apabila dua barang misli (yang serupa) ditukar, maka hukumnya perlu dikembalikan seperti mana ia, tanpa menambah atau mengurangkan kuantitinya. Tambahan pula, hutang biasanya sekali, akan tetapi riba berterusan tanpa henti selagi pembayaran penuh tidak dilaksanakan.


(iii) Perniagaan meliputi 2 bentuk risiko, iaitu risiko penurunan harga barang ketika penjual ingin menjualnya, dan risiko kerosakan barang ketika masih di dalam simpanan penjual.

Sedangkan urusan hutang dengan riba tidak melibatkan apa-apa risiko. Sekadar hutang untuk dibayar balik. Maka berbaloilah keuntungan diambil melebihi modal.


Secara kesimpulannya, pertambahan di dalam riba adalah haram kerana duit tidak boleh mencipta duit lain dengan sendirinya. Sedangkan pertambahan keuntungan adalah harus kerana Islam tidak mengakui keuntungan melainkan jika berpunca daripada pekerjaan yang terdedah kepada 2 risiko iaitu rugi atau untung.


Wallahua'lam




Mukhlisah Mardhiah
12 Disember 2010M / 6 Muharam 1432H
Permai Hill

Justifikasi Pengharaman Riba dalam Islam

Justifikasi Pengharaman Riba dalam Islam

Sememangnya diketahui bahawa syariat Islam tidak akan mengharamkan sesuatu perkara melainkan perkara tersebut mendatangkan kemudharatan kepada manusia. Begitu juga dengan amalan riba. Ulama’ telah membentangkan banyak hikmah dan faedah pengharaman riba.


Antaranya, amalan riba akan membentuk manusia yang mementingkan kemewahan, ego dan menyembah harta. Sedangkan Islam membina hubungan sesama manusia di atas dasar saling bantu membantu. Keadaan ini akan membentuk individu yang saling menghormati dan kasihan belas antara satu sama lain. Harta hanyalah alat untuk menuju Allah Ta’ala, dan bukannya matlamat yang seharusnya dikejar manusia.

Selain itu, amalan riba akan menjadikan manusia malas berusaha mencari harta. Cukup sekadar duit masuk dengan hanya goyang kaki. Maka sedikit demi sedikit manusia akan meninggalkan medan perniagaan, pembuatan, perkilangan, apatah lagi kraf tangan. Sekiranya keadaan ini berterusan, sudah tentu akan mencacatkan pertumbuhan ekonomi negara serta mengurangkan modal insan yang berkualiti.

Di samping itu, jika dirujuk terhadap keperluan kewangan, sudah tentu orang miskin dan kurang keupayaan yang lebih banyak melaksanakan pinjaman. Dengan kewujudan riba atau faedah akan membebankan lagi golongan ini. Sudahlah tidak punya wang, dibebankan pula dengan tambahan bunga yang tidak mendatangkan kebaikan padanya. Manakala orang kaya yang terlebih keperluan akan lebih berlipat kali ganda kekayaannya. Bukankah ini zalim namanya.


Akhirnya, amalan riba ini akan mendatangkan risiko kepada negara dalam setiap lapangan kehidupan termasuk ekonomi, sosial dan politik. Akan berlakunya krisis ekonomi yang lembap dan mendatangkan inflasi yang mengakibatkan kenaikan harga barangan. Jurang antara golongan kaya dan miskin juga akan melebar di samping salah agihan kekayaan yang berlaku antara individu dalam masyarakat. Hal ini akan menjejaskan kestabilan sesebuah negara.


Wallahua'lam


Mukhlisah Mardhiah
11 Disember 2010M / 5 Muharam 1432H

Permai Hill

December 6, 2010

Doa Akhir dan Awal Tahun


Bismillah..

Alhamdulillah.. pejam celik, pejam celik.. dah sampai ke tahun baru umat Islam.. Allah masih pinjamkan nyawa ini untuk terus menambah amal + ibadah + kebaikan dalam trek hidup kita sebagai seorang hambaNya.

Lebih 1400 tahun yang dahulu, Rasulullah ada berkata kepada kita menerusi sahabatnya, amiirul mukminin, Saidina Umar ibn al-Khattab, kata baginda ; "Sesungguhnya amalan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap manusia itu mengikut apa yang diniatkannya. Maka, sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan sesiapa yang hijrahnya itu kerana dunia yang diingininya atau kerana seorang perempuan yang ingin dikahwininya, hijrahnya itu mengikut apa yang ia berhijrah kerananya". - HR Bukhari dan Muslim.

Di tahun baru ini, suka untuk saya memetik kalam Allah sebagai renungan kita menerusi ensiklopedia cintaNya, al-Furqan; "Apabila kamu telah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah!" -( Faiza 'azamta fatawakkal 'alallah )

Ayuh! Koreksi diri agar menjadi mukmin yang berjaya.
"Qad aflahal mukminuun!"

Ya Rabb, Ya Allah..
Jadikanlah tahun baru ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya..

Bila umur semakin bertambah, makin dekatlah saat muka menghadap ke tanah.. untuk dihadapkan kepada Allah. Ya allah, bantulah kami.


Mukhlisah Mardhiah
Bangi Perdana,
1 Muharam 1432 H