January 22, 2011

Kembara ke Muktah di Karak & Rehlah Aqabah (1)


Kembara ke Muktah di Karak & Rehlah Aqabah (1)

Lokasi : Mu’tah dan Aqabah
Tarikh : 23 Januari 2010 – 26 Januari 2010 (4 hari)
Matawang : Jordan Dinar - JOD (100USD = 71 JOD)
Budget : 40 JOD (belanja tambang, penginapan dan makan)
Travel Members : 8 orang
(Mard, Syahida, Fahin, Humi, Zakiah Thowil, Nadiah, Farhana, Farizah)


Muqaddimah

Tahun ini tahun terakhir kami di bumi Jordan. Rumah kawan-kawan lengang dek kerana masing-masing punya jadual destinasi kembara yang tersendiri. Cuti sebelum memasuki semester akhir ini kami manfaatkan dengan memilih Mu’tah sebagai destinasi kembara ‘gamble’ kami. Sudah lama benar hasrat di hati mahu mendarat di sana. Alhamdulillah, akhirnya Allah izinkan.


Hari Pertama - 23 Januari 2010

Kali ini kami berlapan mengembara ke Mu’tah dengan menaiki bas awam. Jaraknya dari Irbid memakan masa lebih kurang 5 jam perjalanan. Masing-masing tiada pengalaman ke sana. Berbekalkan informasi yang kami kutip, kami memulakan langkah dengan penuh keyakinan. Ada 4 perhentian yang perlu dilalui untuk tiba di Mu’tah;
i) Mujamma’ Amman di Irbid,
ii) Mujamma’ Amman di Amman,
iii) Mujamma’ Janubi di Wehdat, Amman,
iv) Balad Mu’tah

3 – menunjukkan simbol perhentiaan ke-3 kami di perhentiaan bas dan teksi Wehdat, Amman.



Alhamdulillah, kami selamat tiba di Mu’tah pada waktu Maghrib. Musim ini musim sejuk. Kami dapat rasakan kesejukan Mu’tah melebihi kesejukan di Irbid dan Amman. Pakcik Arab di kedai-kedai setiap hari akan berkata, “esok pasti salji turun”, namun tidak turun-turun juga. Kami menumpang bermalam di rumah kawan-kawan pelajar di sana. Layanan mereka sungguh baik. Sempat kami membeli beras, ayam, telur dan sayur-sayuran sebagai buah tangan sebelum ke penginapan mereka.

Hari pertama kami isi dengan borak dan rehat. Gembira rasanya dapat bertemu semula dengan kawan lama ketika di sekolah dahulu, Aziah namanya. Tak sangka bumi Jordan akan mempertemukan kami.

Tenaga di cas kembali, untuk kembara di esok hari. Selimut tebal seberat 8 kg dan pemanas udara menjadi rakan karib kami sepanjang musim sejuk ini.



Hari Kedua - 24 Januari 2010

Pagi ini angin kuat. Tidak seperti semalam. Adakah ini tanda-tanda salji akan turun pada hari ini??

Selepas menyiapkan bekal makan tengahari : nasi putih dengan telur goreng berlada, kami terus bertolak ke persimpangan jalan, menunggu murakib (pengawas yang terdiri daripada mahasiswa lelaki) untuk mengetuai kembara kami sepanjang hari ini. Terima kasih kami ucapkan buat Ustaz Fudhail Azemi and the gang. Ustaz Fudhail merupakan bekas senior di sekolah lamaku dahulu.

Destinasi pertama terletak di daerah Mazar. Kami menziarahi maqam 3 sahabat yang syahid dalam perang Mu’tah ketika bertempur dengan tentera Rom Byzantine. Mereka merupakan panglima perang yang mengetuai 3000 tentera muslimin mengalahkan 200000 tentera Rom dan Musyrikin. 3 maqam ini diasingkan di dalam bilik yang berlainan di sebuah tempat. Tapak perang Mu’tah juga boleh dilawati di daerah ini, berhampiran dengan Universiti Mu’tah.

Sebelum bertolak ke medan jihad, Rasulullah telah melantik Zaid bin Harithah untuk mengetuai angkatan tentera sebagai panglima. Sekiranya Zaid syahid, panglima tentera Islam akan diganti dengan Ja’far bin Abi Thalib. Sekiranya Ja’far pula yang syahid, panglima tentera Islam akan diganti pula dengan Abdullah bin Rawahah. Apabila ketiga-tiga panglima Islam yang dilantik oleh Rasulullah ini syahid di medan perang, maka kaum Muslimin harus berbincang untuk meletakkan siapa sebagai panglima seterusnya. Tentera Islam sepakat melantik Khalid al-Walid sebagai ganti. Akhirnya tentera Islam mencapai kemenangan, mengalahkan kuasa besar dunia pada ketika itu.

Maqam Saidina Zaid bin Harithah


Zaid bin Harithah merupakan anak angkat kesayangan Rasulullah ‘alaihi salam. Sebelum turunnya wahyu larangan mem’bin’kan anak angkat dengan bapa angkatnya, Zaid dikenali dengan nama Zaid bin Muhammad. Asalnya, beliau merupakan seorang hamba yang dibeli di pasar Ukaz oleh anak saudara Khadijah binti Khuwailid. Lalu Zaid diberikan kepada Khadijah, dan Khadijah memberinya kepada Rasulullah. Zaid merupakan antara orang yang terawal menyahut seruan Islam. Rasulullah sangat sedih akan pemergian orang yang dikasihinya yang syahid di medan Mu’tah ini.

Bergambar di hadapan Maqam Ja’far bin Abi Thalib


Ja’far bin Abi Thalib juga dikenali sebagai Ja’far At-Thayyar (Ja’far yang bersayap). Beliau merupakan sahabat dan sepupu Rasulullah ‘alaihi salam. Semasa peperangan Mu’tah berlangsung, ketika kelihatan Zaid telah ditewaskan, sepantas kilat Ja’far menyambar panji-panji Islam daripada jatuh ke tanah dan menjulangnya dengan tinggi sebagai tanda kepimpinan telah beralih di tangannya. Melihat keadaan itu, tentera kafir Musyrikin memberikan serangan bertubi-tubi kepadanya. Tangan kanannya yang memegang panji-panji Islam dicantas. Lantas disambutnya panji-panji itu dengan tangan kirinya pula. Lalu tangan kirinya pula dipotong, Ja’far terus memeluk panji-panji itu dengan lengannya di dada. Apabila lengannya tinggal sepertiga, sepantas kilat Abdullah bin Rawahah menyambar panji-panji Islam sebagai tanda kekuasaan Islam berada di bawah pimpinannya pula. Allahuakbar.

Abdullah bin Umar menyatakan, ketika jasad Ja’far at-Thayyar ditemui, kelihatan lebih 90 tempat luka disebabkan tusukan pedang dan tombak di sekitar jasadnya. Berbahagialah syuhada’ Allah di syurga sana. Bekas lukanya itu adalah tanda kehormatannya di syurga.


Di hadapan Maqam Abdullah bin Rawahah bersama penjaga tempat ini.



Abdullah bin Rawahah dari golongan Ansar merupakan salah seorang daripada 12 orang yang berbaiah kepada Rasulullah dalam Bai’atul Aqabah yang pertama. Beliau sangat pakar bersyair. Di sekeliling maqamnya juga terpahat bait syair yang pernah digubahnya. Sepanjang perang berlangsung, seringkali tentera Islam turun semangat, lebih-lebih lagi apabila satu demi satu panglima mereka syahid. Seringkali itu juga Abdullah bin Rawahah menguatkan kembali semangat mereka dengan syairnya yang berkobar.

Ketika mengatur strategi sebelum perang, mereka mendapati bahawa tentera kafir dan musyrikin jauh lebih ramai berbanding tentera Islam. Ada cadangan daripada sahabat untuk menulis surat kepada Rasulullah untuk memberitahu hal tersebut. Lantas Abdullah bin Rawahah berdiri dan berkata ; “Wahai Saudara! Demi Allah, sesungguhnya kita berperang dengan musuh bukan atas dasar bilangan dan kekuatan. Kita memerangi mereka tidak lain tidak bukan untuk memepertahankan agama kita ini, yang dengannya kita dimuliakan Allah. Ayuh maju! Salah satu dari 2 jalan kebaikan pasti kita capai : kemenangan atau syahid di jalan Allah!”. Maka melangkahlah tentera Islam dengan penuh semangat untuk menegakkan agama Allah.
......................................................................................................................................
...bersambung...
Mukhlisah Mardhiah

1 comment:

-Sufiey Imtiaz- said...

ya allah, rindunya hijrah gamble kita..:(