January 22, 2011

Kembara ke Mu'tah di Karak & Rehlah Aqabah (2)



....sambungan...




Usai berziarah maqam, kami menuju ke kawasan coaster untuk menaiki bas ke Karak. Perjalanannya tidaklah terlalu jauh, lebih kurang 10 km. Tambangnya pun murah sahaja.

Setibanya di perhentian bas Karak, mata kami terpandang ke arah kawasan ‘bandar’ yang terletak di atas bukit seolah-olah bertanya “kita kena panjat bukit ini ke??”. Ya, untuk sampai ke atas, kami perlu mendaki bukit yang agak curam itu. Banyak kereta yang melalui jalan tersebut, pasti para pemandunya sangat cekap disebabkan sentiasa menelusurinya.

Sebelum menuju ke kubu bersejarah di daerah Karak ini, kami singgah di masjid untuk solat jama’ taqdim. Kemudian kami meneruskan perjalanan menuju ke kubu pertahanan yang digelar ‘Karak Castle’. Dalam perjalanan ke sana, kami sempat melencong ke kawasan tanah perkuburan Islam di daerah ini. Di suatu sudut hujung bukit terdapat maqam Nabi Nuh ‘alaihi salam, dikatakan baginda pernah singgah di sini sepanjang hidupnya selama 950 tahun berdakwah kepada manusia untuk menyembah Tuhan yang Esa. Namun hanya beberapa orang sahaja yang mengikutinya.

Kami menoleh ke belakang, arah bertentangan dengan maqam Nabi Nuh tesebut. Nun jauh di bawah cerunan sana terdapat sebuah bukit besar seolah-olah membentuk sebuah kapal. Masyarakat setempat di daerah ini percaya bahawa bukit yang menyerupai kapal itu adalah bahtera Nabi Nuh yang tersadai selepas berlakunya banjir besar yang amat dahsyat pada suatu ketika dahulu. Hanya beberapa pasangan manusia dan binatang yang menaiki bahtera tersebut sahaja terselamat daripada bencana yang merupakan azab Allah buat kaum yang ingkar.
Bukit yang menyerupai kapal, selepas zooming.

Selesai menziarahi maqam Nabi Nuh, kami bergerak ke Karak Castle. Dajaj masywi @ ayam panggang dibeli di restoren berhampiran. Memang sudah termasuk dalam perancangan kami untuk lunch di puncak bukit istana lama ini. Namun, keadaan angin yang sangat kencang menyukarkan pergerakan kami. Habis berterbangan segala peralatan kami yang tidak ditindih dengan pemberat. Sesekali, kami yang berjisim berat ini juga hampir tumbang ditiup angin. Jelas kelihatan awan gergasi yang berarak laju di langit.

Karak Castle dibina oleh tentera salib sebelum mereka berjaya dikalahkan oleh tentera Islam pimpinan Salahuddin al-Ayubi. Kubu ini dibina atas dasar pertahanan bagi mengelakkan serangan daripada tentera Islam dan mengawal lalu lintas di kawasan tersebut. Letak duduk kubu di atas bukit ini sangat strategik.

Selepas beberapa puluh tahun tentera salib mendiami kubu ini, tentera Salahuddin Al-Ayubi mengatur strategi untuk menawan kubu tersebut. Mereka mengepung kubu ini untuk tempoh yang lama. Akhirnya, kekuasaan Reynald Chatillon yang memerintah pada ketika itu, jatuh ke tangan umat Islam.

Hari sudah hampir lewat petang. Angin pula semakin kencang. Perjalanan keluar kami dari kawasan muzium memerlukan sekuat daya tenaga merentangi tiupan angin. Maklumlah, berada di atas bukit, tanpa bangunan dan pepohon di kanan kiri. Sesekali tewas juga ditiup angin ke belakang. Semacam ada satu alamat dari tiupan yang ganjil ini. Saljikah??

Kami mengambil keputusan untuk pulang kembali ke penginapan. Mula-mula berkira-kira untuk ke Laut Mati. Dan akhirnya keputusan sepakat untuk menuju ke Aqabah buat kali yang ke-2 pada keesokan harinya. Sebelum sampai di rumah tumpangan, sempat juga memetik falafil goreng dan syawarma di kedai. Syawarma Irbid dan Mu’tah ada kelainannya. Nyummy!



Hari Ketiga - 25 Januari 2010

Hujan sejak malam tadi tidak menunjukkan tanda-tanda ingin berhenti. Sesekali lebat, sesekali renyai. Sejuk hari ini berganda. Celik mata pagi-pagi, disangkakan salji sudah turun. Bila tirai diselak, “oh, belum lagi”. Jalan raya sudah dipenuhi air dan nampak lengang. Perancangan hari ini untuk ke Aqabah harus diteruskan. Jika salji turun, alamatnya banyak jalan yang akan ditutup, dan lambat lagi lah kami akan dapat pulang ke Irbid.

Selepas sarapan dan menyiapkan bekal, kami mengucapkan selamat tinggal kepada kawan-kawan Mu’tah yang sudi menerima kehadiran kami. Semoga Allah membalas jasa mereka semua.

Masing-masing dengan sweater dan baju hujan masing-masing, meredah hujan dan lopak air yang tidak putus. Orang Arab jarang menggunakan payung. Mereka suka hujan. Maklumlah, dalam setahun hujan hanya turun di pertengahan musim sejuk sahaja. Kami meluru terus hingga ke hujung jalan, tempat perhentian bas. Kali ini 3 orang sahabat Mu’tah menyertai rehlah kami ke Aqabah. Lebih meriah! Teruja rasanya bia melihat asap berkepul-kepul keluar dari ruang pernafasan disebabkan kesejukan yang amat sangat.

Kami mengambil coaster menuju ke terminal bas. Hampir setengah jam menunggu bas yang akan bertolak ke Aqabah. Bunyi tiupan angin yang agak kuat sesekali menggerunkan kami. Bas yang besar dan panjang itu pun boleh bergoyang dek kerana tiupan angin. Masha Allah.

Perjalanan dari Karak ke Aqabah adalah sejauh 237 km. Memang satu perjalanan yang panjang. Jalan yang bersimpang siur di awalnya juga sesekali memeningkan kepala kami. Namun, semakin kami menjauhi Karak, cuaca hujan dan sejuk bertukar menjadi semakin panas dan kering. Petanda bahawa cuaca di Aqabah dalam keadaan baik.

Oleh kerana ini kali ke-2 majoriti dari kami tiba di Aqabah, maka kami tidak memilih untuk menziarahi tempat bersejarah. Kali ini cadangnya kami ingin membeli beberapa barang dan cenderamata untuk dibawa pulang ke Malaysia selepas semester akhir nanti. Masing-masing dengan comforter, selimut set, dan barangan pilihan masing-masing. Tidak ketinggalan juga ada yang membeli patung biri-biri comel dan sedap dipeluk. Walaupun kawasan ini menjadi tumpuan pelancong, kawasan bebas cukai ini memang sangat murah harga barangannya. Namun, kalau berlebih-lebihan semasa membeli, tunggulah urusan yang panjang lebar menanti di imegresen nanti. Masing-masing dengan comforter, selimut set, dan peralatan masing-masing.

Kami merancang untuk menyewa sebuah hotel bajet yang mempunyai dapur memasak. Satu bangunan ke satu bangunan dicari. Akhirnya, nun jauh di hujung batang jalan sana kami temui 1 yang selesa dengan harga yang murah. Sohibnya juga menyenangkan. Dia sudi untuk meminjamkan kepada kami gas dan peralatan memasak. Apa lagi, malam ini kami menuju ke kedai borong makanan laut, membeli ikan, sotong dan sebagainya untuk dimasak. Jika di Irbid, jangan haraplah bertemu dengan ikan segar dan berharga murah. Alhamdulillah.

Hari Keempat - 26 Januari 2010

Hari ini hari terakhir. Memikirkan barang-barang shopping semalam yang sangat banyak dan ‘besar-besar’, betul-betul memeningkan kepala kami. Mana mungkin semua barang itu diterima untuk dimuatkan di dalam perut bas dalam satu destinasi yang panjang. Bagaimana pula dengan cukai??

Sahabat Mu’tah kami mengambil coatser untuk pulang. Tak sabar katanya ingin bermain salji di Mu’tah. Dengar cerita, salji telah turun di Mu’tah pada malam tadi. Kami pula mengambil teksi ke perhentian bas JET untuk membeli tiket terus ke Irbid. Harganya lebih kurang 10 JOD. Perjalanan Aqabah ke Irbid adalah sejauh 412 km. Subhanallah. Moga Allah tabahkan kami dalam perjalanan yang panjang ini.
Terima kasih buat semua sahabat yang membantu.

No comments: