October 20, 2008

Cahaya Islam ; Sistem Ijarah & Sukuk Ijarah

Bismillahirrahmanirrahim

Cahaya Islam ; Sistem Ijarah & Sukuk Ijarah

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

“ Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara menyeluruh, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”.

(Al Baqarah : 208).

Ijarah atau dalam kata lainnya – ‘sewa’, merupakan kalimah yang lazim kita dengari. Mungkin ada di antara kita yang mempunyai harta lalu disewakan kepada orang lain, atau tidak memilki sesuatu harta, lalu menyewanya daripada orang lain. Di dalam artikel ini, saya suka untuk terus menggunakan istilah ‘ijarah’ sebagai medium penulisan saya.

Ijarah bererti Muajjir (tuan barang) memberikan manfaat sesuatu barang kepada musta’jir (penyewa), mengikut tempoh masa tertentu, dengan bayaran tertentu. Misalnya, Syahid mempunyai kereta, lalu disewakan kepada Syuhada’ selama 3 hari dengan caj sebanyak rm70/malam. Jadi, Syahid adalah muajjir, Syuhada’ adalah musta’jir, kereta adalah syai’ muajjar (barang yang disewakan), dan sewa rm70 x 3hari adalah al-musta’jir fih (bayaran yang diterima dari penyewa).

Allah Ta’ala berfirman di dalam at-Thalaq : 6 & al-Qasas : 26 ;

فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآَتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ

Maksudnya ; …kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya..

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ (26)

Maksudnya; Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: "Ya bapakku ambillah ia sebagai orang yang bekerja (pada kita), karena sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya."

Ijarah, bukan sahaja sewa ke atas manfaat barang, bahkan sewa ke atas pekerjaan, contohnya mengupah (atau sewa tenaga) orang untuk membina rumah.

Saya kira tajuk ini sangat mudah untuk didiskusikan. Namun, di sini saya cuba untuk berkongsi mengenai sukuk ijarah, sekadar ilmu atau maklumat yang ada pada diri ini. Ramai dalam kalangan muslimin yang jelas menolak ‘bon’ yang ditawarkan di pasaran, kerana jelas memberikan pulangan atau keuntungan menerusi faedah yang tetap. Akan tetapi sukuk jauh bezanya dengan bon.

Umum mengetahui, dewasa kini telah banyak produk perbankan islam yang diketengahkan, termasuk sukuk (bon islamik). Antara produk sukuk yang ditawarkan adalah sukuk ijarah.

Apa itu sukuk ijarah?? – berdirinya sukuk ijarah di atas kontrak ‘sales and lease back’ (jual dan sewa kembali). Kronologinya begini; Kerajaan atau sesuatu institusi ingin melaksanakan sesuatu projek, namun menghadapi masalah besar dari sudut modal / kewangan. Oleh itu, kerajaan menerbitkan sukuk.

Untuk menerbitkan sukuk ijarah, kerajaan atau badan yang terlibat perlu menyediakan sejumlah aset. Lalu aset ini dijualkan kepada para pembeli sukuk (boleh jadi sesiapa sahaja yang berkemampuan). Hasil jual beli tersebut, kerajaan akan memperoleh wang untuk melaksanakan projek yang dirancang. Maka terlaksanalah satu komponen sales/penjualan dari kontrak ‘sales and lease back’.

Lanjutan daripada transaksi ini, kerajaan akan menyewa kembali aset-aset yang telah dijual tadi. Ini bermakna, para pemegang sukuk akan menerima ‘duit sewa’ berkala daripada kerajaan. Dan inilah yang dimaksudkan dengan komponen ‘lease back’ dari kontrak ‘sales and lease back’.

Bagaimana pula dengan modal yang dikeluarkan oleh para pemegang sukuk?? – tentunya sesebuah kontrak mempunyai tempoh matang yang tertentu. Apabila sampai kepada tempoh matang, kerajaan akan ‘membeli’ kembali asset-aset tersebut pada harga par (harga yang sama sewaktu menjualnya). Mudah bukan??

Untuk lebih memudahkan ilustrasi pembaca, saya hadirkan satu contoh yang lebih mudah. Saya ingin membeli sebuah banglow bernilai rm1juta. Tapi saya takde duit! Lalu saya kumpulkan segala asset yang ada (rumah lama, perabot, alat elektronik, dsb) dan menjualkannya kepada orang lain-katakanlah Syazlin. Setelah dijual, saya sewa kembali aset-aset tadi dengan bayaran rm50ribu setahun. Setelah 8 tahun, saya akan membelinya semula daripada Syazlin dengan harga asal. Jadi, Syazlin akan memperoleh kembali modal beliau, dicampur dengan hasil sewa yang beliau peroleh sepanjang menunggu tempoh tamat kontrak. Untung, bukan??

Kesimpulannya, produk-produk perbankan islam yang ditawarkan atau yang bakal ditawarkan, sedaya upaya untuk lari daripada konsep gharar atau riba yang sememangnya telah lama bertapak di bumi ini. Jelas sukuk ijarah terhindar dari faedah, kerana pulangannya berupa ‘wang sewa’.

Ayuh, sama-sama kita mendalami ilmu Islam, dari kaca mata ekonomi.. Moga ‘mereka’ terbuka mata dengan kesyumulan sistem ekonomi Islam..

Wallahu’alam.

p/s; sebarang kesalahan/khilaf, hope diperbetulan.


Rujukan;

1. el-furqan

2. el-uqud el-musammah ; dr. Wahbah az-Zuhaily

3. http://janganserakah.com/2008/09/24/kasak-kusuk-sukuk/


Saya budak baru belajar,

Mukhlisah Mardhiah

Irbid, Jordan.

Siap; 08.29am @ 20 Oktober 2008

No comments: