April 15, 2011

Kolej IKIP Memenuhi Permintaan Pasaran Pengamal Kewangan Islam

Bismillah

Artikel 2 : Kolej IKIP Memenuhi Permintaan Pasaran Pengamal Kewangan Islam


“Berlatarkan persekitaran global yang semakin tidak menentu, kewangan Islam sebagai satu bentuk perantaraan kewangan dalam sistem kewangan antarabangsa terus menjadi berdaya maju dan berdaya saing”, kata Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.



Dengan lebih 75 buah negara dan lebih 500 institusi kewangan Islam di serata dunia yang mencecah asset melebihi US$1 trillion, sektor kewangan Islam terus berkembang di dalam pasaran sekali gus mewujudkan potensi dan peluang kepada banyak pihak. Menerusi ucapan bajet 2011 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membentangkan mengenai Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP). Perkhidmatan kewangan pula merupakan antara 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) sebagai teras kepada ETP yang mensasarkan peningkatan jumlah sumbangannya kepada Pendapatan Negara Kasar sebanyak RM121.5 bilion menjelang 2020.



Tahun 2010 telah menyaksikan pertambahan aset perbankan Islam di Malaysia yang mencecah RM337.6 bilion, sekali gus menyumbang 20.1% daripada jumlah aset dalam sistem perbankan. Malaysia juga merupakan penerbit bon Islam (sukuk) terbesar di peringkat antarabangsa yang menerbitkan dua pertiga atau US$13.8 bilion daripada jumlah keseluruhan terbitan sukuk global bernilai US$35 bilion.



Pelbagai inisiatif telah diambil dalam agenda menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam Global. Oktober tahun lalu, Perbadanan Pengurusan Mudah Tunai Islam Antarabangsa (IILM) telah dilancarkan bagi menerbitkan instrumen mudah tunai lantas membolehkan aliran kewangan rentas sempadan diuruskan dengan lebih cekap. Malaysia juga akan memulakan dagangan sukuk rentas dengan Perbadanan Penjelasan Elektronik Malaysia (MyClear), anak syarikat milik penuh BNM untuk memperkenalkan transaksi kewangan rentas sempadan yang cekap, boleh dipercayai dan terjamin.



Selain itu, Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) berperanan untuk mengangkat Malaysia sebagai hab kewangan Islam Antarabangsa. MIFC terdiri daripada rangkaian komuniti pengawal selia kewangan dan pasaran, meliputi Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, dan Bursa Malaysia, serta kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat di dalam industri perbankan, takaful, institusi pasaran modal, institusi pembangunan modal insan dan syarikat perkhidmatan professional yang bekerjasama dalam kewangan Islam.



Sejajar dengan pertumbuhan pesat ini, sektor kewangan Islam telah menyediakan peluang kerjaya yang amat besar. Hal ini telah disahkan oleh syarikat perunding-cara AT Kearney yang meramalkan bahawa lebih kurang 30,000 profesional kewangan Islam diperlukan di Timur Tengah untuk jangka masa 10 tahun mendatang. Di Malaysia, jangkaan seramai 8,600 tenaga professional diperlukan bagi industri perbankan Islam dan seramai 2,000 profesional dalam sektor takaful pada 2012.



Angka ini juga dijangka akan meningkat, lebih-lebih lagi apabila syarikat pelaburan kerajaan Abu Dhabi, Mubadala Development Company telah bersetuju untuk bekerjasama dengan 1Malaysia Development Berhad untuk membangunkan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIDF) yang akan menempatkan secara bersepadu bank utama antarabangsa dan firma perkhidmatan kewangan professional termasuklah pakar syariah.



Menyedari keperluan yang semakin meningkat ke atas pengamal kewangan Islam serta memenuhi permintaan pasaran kerja, Kolej Antarabangsa IKIP, Kuantan telah menjalinkan usaha sama dengan Universiti Yarmouk, Jordan melalui program berkembar Ijazah Sarjana Muda (dengan kepujian) Syariah, Ekonomi dan Perbankan Islam. Sehingga kini, program yang telah menyaksikan 60 graduan setakat ini yang telah berjaya menamatkan ijazah tersebut memberikan hasil yang sungguh memberangsangkan. Keseluruhannya mendapat pekerjaan dengan 30% terlibat secara langsung di dalam industri kewangan Islam, sepertimana yang disenaraikan di dalam rajah 1. Baki sebanyak 50% memasuki sektor awam termasuk badan kerajaan, 10% menceburi bidang akademik termasuk menyambung pengajian, dan 10% lagi memasuki sektor swasta dan perniagaan persendirian.



Pencapaian ini sememangnya menjadi satu kebanggaan, lebih-lebih lagi apabila dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara dalam agenda menegakkan keadilan sosial melalui sistem kewangan Islam.


Disediakan oleh,

Mardiah Bt Shaharum

Pensyarah

Kolej IKIP, Kampus Taman Pertanian

@ Graduan IKIP-Yarmouk 2010



*artikel ini telah diterima, diedit dan dimuatkan di dalam berita harian edisi 6 april 2011, bertajuk "Graduan IKIP-Yarmouk Penuhi Pasaran Kewangan Islam".

5 comments:

azhan22us@yahoo.com said...

Salam. Program berkembar IKIP-Yarmouk ini dlm bahasa apa? Boleh detail sedikit tentang peluang kerjaya dlm bidang ini esp graduan dr Yarmouk University? Adakah di sektor bank shj?

niey said...

azhan22us
minta izin nk jwb blh? tuan punya blog sepertinya agak sibuk.

saya juga rakan sebatch penulis sebenarnya.

program ini dalam dwi bahasa, ada bahasa arab dan juga bahasa inggeris. mengikut kepada subjek yang diambil.

bagi subjek berkaitan syariah, lebih banyak dalam bahasa arab, subjek ekonomi, banking dan akaun lebih banyak dalam bahasa inggeris.

insyaALLAH bagi yang kurang mahir akan jadi mahir bila sudah belajar.

berkaitan dengan peluang kerjaya, graduan bukan terhenti di bank sahaja. pelbagai sektor pekerjaan boleh di 'explore'.

boleh juga menjadi pensyarah, guru,tetapi fokus sebenarnya adalah di bank.

program ini sebenarnya adalah satu platform untuk melahirkan banker yang mempunyai asas shariah yang kukuh.

untuk melahirkan lebih ramai player dalam bidang perbankan yang makin berkembang, malah melahirkan penasihat sahariah yang faham ilmu fiqh dan perbankan.

jika berminat, saya secara peribadi sangat-sangat menggalakan untuk sertai program ini. InsyaALLAH belajar kerana ALLAH, ALLAH akan mudahkan semua urusan kita.

dan saya bangga menjadi pelajar IKIP-Yarmouk!


p/s: sorry dik mard..hehe

Unknown said...

AINI... thanks so much. saya dh banyak kali reply msg ni sbnarnya. panjang lebar plak tu. tp setiap kali saya tekan "publish", setiap kali tu jg internet putus. tak tau la knapa. (comment ni pn taktau la lepas publish ke tak ;p)

yup.. betul3..

dan sekarang saya sedang berkongsi ilmu dengan adik2 batch IKIP Yarmouk 8th intake, yg majoriti nya takde basic Arab!! MARA student. maashaaAllah. may Allah ease!

thun ni, selain yayasan pahang, yayasan sabah n PEYATIM pn sent their students here.

~jadi sangat semangat bila tgok mereka sangat semangat utk belajar~

Anonymous said...

salam..sy student diploma kewangan islam dr kuis..
sy nk tanye ..klau nk sambung kt IKIP dlm bidang pebankan islam..boleh trnsfer krEDIT x..?

Unknown said...

salam to KUISan..

acctually, program IKIP-Yarmouk ni, dah gred nanti akan dapat degree daripada Univ Yarmouk. bukan IKIP.

so, syarat nak futhur study dalam course ni, antaranya SPM hanya laku 2 tahun dari tempoh dapat result. Kalau lebih tak diterima.
i.e : utk register thn ni (2011), hanya terima result spm 2011 n 2010 sahaja.

so far tentang transfer credit tu tak pernah dibuat lagi. since semua result bukan ikip yg keluarkan. tp jamiah yarmouk sndiri.

student hanya belajar di malaysia, silibus n exam paper sume dari Yarmouk.

wallahualam