April 7, 2011

Majlis Penasihat Syariah (MPS) dan Item "Patuh Syariah"

MAJLIS PENASIHAT SYARIAH (MPS)DAN ITEM "PATUH SYARIAH"

......................................................................................



Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti dan peranannya

MPS Suruhanjaya Sekuriti ialah jawatankuasa yang telah ditubuhkan oleh SC pada tahun 1996 di bawah seksyen 18, Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA). MPS diberikan mandat dalam memastikan perjalanan pasaran modal Islam selaras dengan prinsip-prinsip Syariah. Bidang kuasanya ialah memberi nasihat kepada Suruhanjaya dalam semua perkara berhubung pembangunan pasaran modal Islam yang komprehensif dan bertindak sebagai pusat rujukan dalam semua isu pasaran modal Islam. Ahli MPS terdiri daripada ulama Islam dan pakar kewangan Islam.


Sumber rujukan asas penyelidikan dalam pasaran modal Islam boleh dibahagikan kepada dua bahagian: Sumber utama: al-Quran dan al-Sunnah Sumber sokongan: Ijmak (persepakatan pendapat) , qiyas (kesimpulan secara analogi) , maslahah (kepentingan umum) dan sumber-sumber lain yang diterima oleh Syariah.



Senarai Sekuriti Patuh Syariah

Senarai sekuriti patuh Syariah mengenal pasti syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang aktivitinya mematuhi kriteria Syariah yang ditetapkan oleh MPS. Senarai berkenaan dikemaskinikan dua kali setahun iaitu pada hari Jumaat terakhir bagi bulan Mei dan November setiap tahun.


Kriteria umum dalam menilai sekuriti patuh Syariah ialah syarikat itu tidak terlibat dalam aktiviti teras seperti yang berikut:

-Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah);

-Perjudian;

-Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan;

-Insurans konvensional;

-Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan Syariah;

-Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan;

-Pembrokeran atau jual beli sekuriti yang tidak diluluskan Syariah; dan

-Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan Syariah.

MPS juga mengambil kira tahap sumbangan daripada pendapatan faedah yang diperoleh syarikat hasil daripada simpanan tetap konvensional atau instrumen kewangan konvensional yang lain. Selain itu, dividen yang diterima daripada pelaburan dalam sekuriti tidak patuh Syariah juga diambil kira dalam kajian yang dijalankan oleh MPS.


Bagi syarikat yang menjalankan aktiviti bercampur di antara aktiviti yang selaras dan tidak selaras dengan Syariah, MPS mempertimbangkan dua kriteria tambahan iaitu:

-pandangan masyarakat umum tentang imej syarikat berkenaan mestilah baik; dan

-aktiviti teras syarikat penting dan mempunyai maslahah (kepentingan umum) kepada umat Islam dan negara manakala unsur yang tidak selaras dengan Syariah adalah amat kecil dan melibatkan perkara 'umum balwa (perkara terlarang yang sukar dielakkan), 'uruf (amalan kebiasaan) dan hak-hak masyarakat bukan Islam yang diperakui oleh Islam.

Tanda Aras Patuh Syariah

Tanda aras digunakan bagi menentukan percampuran sumbangan yang dibolehkan daripada aktiviti selaras dan tidak selaras dengan Syariah.

Untuk penentuan percampuran sumbangan yang dibolehkan daripada aktiviti selaras dan tidak selaras dengan Syariah kepada perolehan dan keuntungan sebelum cukai sesebuah syarikat, MPS telah menetapkan beberapa tanda aras tertentu mengikut ijtihad (proses mengeluarkan pendapat daripada sumber Syariah oleh ulama yang layak). Sekiranya sumbangan daripada aktiviti yang tidak selaras melebihi tanda aras yang telah ditetapkan, maka sekuriti syarikat tersebut akan diklasifikasikan sebagai sekuriti tidak patuh Syariah. Tanda aras tersebut adalah seperti yang berikut :


a) Tanda aras lima peratus

Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang jelas keharamannya (tidak selaras dengan Syariah) seperti riba (syarikat berasaskan faedah seperti bank konvensional), judi, minuman keras dan daging babi.


b) Tanda aras 10 peratus

Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang melibatkan unsur "umum balwa" iaitu perkara terlarang yang melibatkan kebanyakan orang dan sukar untuk dielakkan. Contoh sumbangan tersebut ialah pendapatan faedah daripada simpanan tetap dalam bank konvensional. Tanda aras ini juga digunakan bagi aktiviti yang melibatkan tembakau.


c) Tanda aras 20 peratus

Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan terima sewaaan daripada aktiviti tidak patuh Syariah seperti sewaan premis yang menjalankan aktiviti perjudian, jualan arak dan sebagainya.


d) Tanda aras 25 peratus Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang secara umumnya selaras dengan Syariah dan mempunyai maslahah (kepentingan umum), namun terdapat unsur lain yang boleh menjejaskan status Syariah aktiviti berkenaan. Antara aktiviti yang mempunyai tanda aras ini ialah aktiviti pengendalian hotel dan pusat peranginan, perniagaan saham, pembrokeran dan sebagainya kerana aktiviti tersebut berkemungkinan melibatkan aktiviti lain yang tidak selaras dengan Syariah.


Nasihat MPS kepada pelabur yang melabur dalam sekuriti patuh Syariah, tetapi kemudiannya sekuriti tersebut bertukar statusnya kepada 'tidak patuh'

Sekiranya ketika pengumuman dikeluarkan, nilai sekuriti yang dipegang melebihi kos pembelian asal, pelabur yang memegang sekuriti tidak patuh Syariah hendaklah melupuskannya. Sebarang keuntungan modal yang diperoleh daripada pelupusan sekuriti tidak patuh Syariah pada masa pengumuman dibuat boleh diambil oleh pelabur. Walau bagaimanapun, sekiranya pelupusan sekuriti yang tidak patuh berkenaan dibuat selepas hari pengumuman, maka lebihan keuntungan modal daripada perbezaan harga semasa pasaran dengan harga penutup pada hari pengumuman hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan.


Sebaliknya, pelabur dibenarkan untuk memegang sekuriti tersebut sekiranya nilai sekuriti yang dipegang lebih rendah daripada kos pembelian asal. Dalam tempoh pegangan itu, pelabur juga dibenarkan untuk menerima dividen sehingga jumlah keseluruhan dividen yang diterima dan nilai pasaran sekuriti yang tidak diluluskan tersebut menyamai kos pembelian asal. Pada ketika itu, pelabur dinasihatkan untuk melupuskan sekuriti tersebut.

Wallahua'lam

Regards,

~Mardiah Shaharum~




No comments: