April 15, 2011

Sumbangan Graduan IKIP-Yarmouk kepada Sektor Kewangan Islam Negara


Artikel 1 : Sumbangan Graduan IKIP-Yarmouk kepada Malaysia

Salah satu program yang ditawarkan oleh Kolej IKIP, Kuantan adalah Ijazah Sarjana Muda (dengan kepujian) Shariah, Ekonomi dan Perbankan Islam. Program ini merupakan program berkembar 2 + 2 dengan Universiti Yarmouk, Jordan. Pelajar lepasan SPM yang mengikuti program ini berpeluang merasai persekitaran pembelajaran 2 tahun di Malaysia dan 2 tahun di Jordan sebaik sahaja menamatkan Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) selama 4 bulan.


Sehingga kini, kursus ini telah dilalui oleh 6 generasi yang majoritinya merupakan anak Pahang. Hal yang demikian disebabkan, Yayasan Pahang akan memberikan tajaan kepada anak-anak Pahang yang mengikuti kursus ini. Bahkan graduan yang berjaya menamatkan ijazah dengan pangkat ‘Mumtaz’ (cemerlang) akan diberikan biasiswa penuh oleh Yayasan Pahang yang bernilai RM72,000. Hal ini merupakan peluang yang besar khususnya kepada para pelajar dalam aliran agama yang berminat untuk menceburi bidang ekonomi dan perbankan Islam.

Umum mengetahui, Malaysia sedang mempergiat usaha untuk menjadi hub kewangan Islam global. Maka, banyak kekosongan dan peluang pekerjaan yang menanti untuk diisi oleh ahlinya. Dengan graduan yang telah mencapai angka 60 orang setakat ini, hasil daripada program berkembar ini sungguh memberangsangkan. Seramai 30 % graduan IKIP-Yarmouk terlibat dalam industri perbankan dan kewangan negara secara langsung. Manakala 50% melibatkan diri dalam sektor swasta termasuk badan berkanun, 10% lagi menceburi bidang akademik termasuk menyambung pengajian, baki sebanyak 10% melibatkan diri dalam sektor awam, dan bekerja sendiri.

2 orang daripada 60 yang bergelar graduan telah berjaya menamatkan pengajian dengan pangkat ‘Mumtaz’. Kebanyakan daripada mereka yang terlibat dalam industri perbankan memegang jawatan sebagai eksekutif syariah dalam pelbagai bank.


Selain itu, 5 orang daripada mereka telah menerima biasiswa daripada Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak RM20,000 setiap seorang bagi mengikuti program CIFP (Chartered Islamic Finance Professional) di INCEIF (International Centre for Education in Islamic Finance) selama setahun sebelum diserap masuk ke dalam industri. Ada juga yang sedang mengikuti latihan industri di Security Commission (Suruhanjaya Sekuriti) dan Bank Negara Malaysia.


Pencapaian ini sememangnya menjadi satu kebanggaan, lebih-lebih lagi apabila dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara.


Alhamdulillah. Disediakan oleh, Mardiah Bt Shaharum Pensyarah Kolej IKIP, Kampus Taman Pertanian Graduan IKIP-Yarmouk 2010

*artikel ini telah direject untuk dimuatkan di dalam akhbar kerana skopnya yang lebih kecil, sebelum dihantar artikel kedua yang telah diperlebarkan skopnya.

No comments: