June 11, 2010

Cerpen : "Khairu Amni" 2


...sambungan...


Khairu Amni sentiasa terfikir-fikir kalau-kalau impiannya untuk berjihad di bumi Palestin terealisasi. Hatinya tetap. Malam itu sebagaimana kebiasaan, Amni menggagahkan dirinya untuk berqiamullail, bermunajat di hadapan pengatur segala takdir. Jiwa mujahidahnya terkesan dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang menyifatkan orang yang tidur pada waktu malam tanpa qiamullail ibarat bangkai.


Solat sunat istikharah didirikan. Dalam keheningan malam, sungguh-sungguh Amni memohon dan berdoa kepada Rabbul Izzah supaya membukakan jalan untuk dia mencapai impiannya iaitu syahid di hujung nyawa.


Bangunnya dia pada keesokan paginya menetapkan lagi pendirian dan imannya dengan keputusan yang diambil. Mimpinya semalam telah menjawab persoalan dalam istikharah yang dilakukakannya berulang kali. Amni bermimpi sedang berdiri di hadapan Baitul Maqdis, tanah suci umat Islam. Pendiriannya juga lebih tetap apabila ayat pertama yang dibacanya selepas Subuh adalah ayat pertama dari Surah Al-Isra’.


Hari itu bakal menjadi hari perbincangan mengenai keputusannya bersama dengan ibu bapanya. Dia tekad. Tekad untuk menuju syahid. Menamatkan hidup yang sementara dengan panggilan jihad.


*******************************


Ibu dan ayah Khairu Amni memerhatikannya dengan dahi yang sedikit berkerut tika mendengar penjelasan panjang lebar tentang keputusan anak mereka untuk menyertai visi ke bumi Palestin.


“Along, along dah fikir habis-habis? Jihad dan dakwah tu kan luas. Lagipun along kan…..”, tak sampai hati ibunya melengkapkan kata-kata.


“Sebab hidup along dah tak lama lah along buat keputusan untuk turut sama berjihad di Palestin, mak. Along dah istikharah”, ayat terakhirnya itu membuatkan ibu dan ayahnya seolah-olah tidak berkuasa untuk menyekat kemahuan puteri sulung mereka.


Amni sedikit pun tidak memperlihatkan keraguan di wajahnya. Dia tahu keputusannya itu bukanlah satu keputusan yang remeh. Harapannya kuat untuk menjejakkan kaki di bumi Palestin, turut sama berjihad walaupun nanti kakinya tidak akan menjejaki bumi pertiwi kembali.


“Mak, abah. Along nak syahid fi sabilillah. Along takut kalau along tinggal di sini, makin lama semangat juang along makin berkurang dek kerana penyakit yang along hidapi. Along takut gugurnya along nanti bukan sebagai syuhada’. Along pun nak bawa mak, abah dan adik-adik masuk syurga sama”. Mengalir air mata seorang ibu mendengar penjelasan anaknya. Perasaan bercampur baur hadir. Sedih, gembira, bangga, terharu.


“MasyaAllah anakku, sejuk perut ibumu mengandung”, bisik hati ayahnya.


*******************************


Pagi itu perkarangan rumah mereka dipenuhi jiran tetangga, saudara mara dan sahabat handai. Sungguh ramai. Bukan kerana berlakunya kematian, namun disebabkan untuk menghantar jiwa seorang pemudi solehah pergi berjihad pada peringkat yang tertinggi, iaitu fi sabilillah. Hujan renyai pada pagi itu dianggap rahmat bagi mereka.


Amni mengambil masa selama 2 bulan untuk mempersiap diri sebagai bekalan sebelum meninggalkan tanah air. 2 bulan sebelum berangkat ke Palestin, mengikuti rombongan Pertubuhan Palestin Bebas (PPB) dimanfaatkan bersungguh-sungguh. Pelbagai perkara yang telah dilakukannya. Blognya diupdate setiap hari tanpa sunyi dari mesej-mesej dakwah. Kadangkala dia mengadakan conference melalui skype untuk berusrah secara online dengan siapa sahaja dari seluruh dunia. Anak-anak jiran diajarnya al-quran tanpa sebarang bayaran. Sepanjang tempoh itu juga dia sempat menulis sebuah buku, “Mahar di jalan dakwah” sebagai hadiah buat ummah. Benar, berita dekatnya kematian benar-benar telah mentsabatkan kakinya di jalan dakwah.


“Emak, kain 4 meter, telekung dan kapur barus along dah packing sekali. Ada apa-apa lagi ke yang tinggal?”, soalnya bersahaja sambil memerhati barang-barang di dalam bagasinya. Terkedu si ibu tanpa suara.


“Dia benar-benar tsabat”, bisik hati kecil ibunya. Tubuh Amni dirangkul erat, dipeluk dan dicium. Mungkin itulah rangkulan yang terakhir.


“Dik, jangan lupa teruskan usaha dakwah walau di mana kamu berada”, pesannya kepada adik-adiknya dan adik-adik usrahnya.


Rombongan Khairu Amni dan PPB diiringi laungan jihad dan takbir masyarakat setempat. Seluruh masyarakat terdidik dengan kehadiran jiwa puteri solehah itu. Bibirnya murah dengan senyuman, melakarkan harapan di jiwa supaya akan lahir lebih ramai jiwa-jiwa yang akan menurut langkahnya.


“Rombongan PPB akan pulang semula tanpa membawa anakku bersama”, detik ayahnya jauh di sanubari tatkala melihat van pertubuhan itu semakin mengecil dan menghilang dari pandangan. Tanpa disedari mutiara jernih seorang bapa gugur dari kelopak matanya.


*******************************


2 bulan berlalu. Anggota PPB telah kembali semula ke Malaysia dengan membawa satu berita. Walaupun duka, namun berita itu dianggap berita gembira buat keluarga Amni. Duka kerana Khairu Amni dan 3 orang anggota PPB telah syahid diserbu Yahudi Laknatullah ketika sedang mengajar kelas pengajian akademik dan al-Quran buat anak-anak Palestin di tanah itu. Gembira kerana pemergian anak mereka seperti yang dia inginkan, syahid fi sabilillah. Perginya dia dalam ketenangan dan senyuman, menginterpretasikan namanya di hujung nyawa, ‘sebaik-baik ketenangan’. Moga Allah menempatkannya dalam kalangan para nabi dan orang soleh.


Wallahu’alam.



Nama : Mardiah Bt. Shaharum
Pena : Mard Shah
E-mail : sivix_youth@yahoo.com
Tahun 4, Shariah, Ekonomi dan Perbankan Islam,
Universiti Yarmouk.


**Cerpen ini telah bejaya menduduki tempat ke2 di dalam pertandingan penulisan cerpen anjuran Kelab Karyawan Islam Jordan (KKIJ). Alhamdulillah.

1 comment:

HabibahSRamli said...

hebat cerpen ni!

semangat juang yang kuat!..

amboi dapat nO 2 tu!
tahniah!