November 8, 2008

ADA APA DENGAN RIBA – SIRI 1

Bismillahirrahmanirrahim

ADA APA DENGAN RIBA – SIRI 1


Sebelum membaca artikel ini, soal diri anda; bagaimanakah aku dengan riba??

Bercerita soal riba memang tidak pernah terhenti. Kerana kita dengan riba (pada hari ini) ibarat jari manis dengan jari telunjuk. (Kenapa penulis tidak mengibaratkan antara jari telunjuk dan jari hantu??) Kerana riba walaupun sangat hampir dengan kita sekarang namun sebenarnya riba bukanlah perkara yang tidak boleh dipisahkan dari hidup kita.

Sesetengah masyarakat beranggapan mustahil untuk kita hidup tanpa riba. Hal yang demikian kerana sistem riba telah bertapak berkurun lamanya sehingga menjadi asas dalam sistem ekonomi dan perbankan dunia. Hakikatnya, bukan Islam sahaja yang menolak riba kerana kemudharatannya, malah di dalam sejarah telah dinukilkan satu per satu masyarakat yang musnah dek kerana riba. (contoh jelas; kejatuhan sistem ekonomi kapitalis di Barat yang kecoh diperkatakan sekarang).

Realiti di Malaysia, ‘riba dan kita’ sangat akrab khususnya dalam kalangan penerima biasiswa, kakitangan kerajaan, para pelabur dan ahli perniagaan, apatah lagi kakitangan di bank konvensional, dan boleh jadi sesiapa sahaja. Namun sedasawarsa ini seluruh dunia telah menyaksikan kesungguhan Malaysia setapak demi setapak dalam melaksanakan sistem perbankan islam (spi) menggantikan sistem-sistem yang bathil yang sedia ada.

Untuk awalnya, penulis suka untuk membawakan asal hukum pengharaman riba yang sangat ditegah Allah dan RasulNya supaya pembaca dapat membaca bait-bait artikel seterusnya dengan ruh Islamy. Bagaimana Allah menurunkan hukum-hukum syariah secara berperingkat, begitu jugalah Allah menurunkan ayat mengenai hukum larangan mengamalkan riba.


Peringkat pertama; Surah ar-rum : 39

وَمَا آَتَيْتُمْ مِنْ رِبًا لِيَرْبُوَ فِي أَمْوَالِ النَّاسِ فَلَا يَرْبُو عِنْدَ اللَّهِ وَمَا آَتَيْتُمْ مِنْ زَكَاةٍ تُرِيدُونَ وَجْهَ اللَّهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُضْعِفُونَ (39)

Maksudnya; Dan sesuatu riba (tambahan) yang kamu berikan agar dia bertambah pada harta manusia, maka riba itu tidak menambah pada sisi Allah. Dan apa yang kamu berikan berupa zakat yang kamu maksudkan untuk mencapai keredhaan Allah, maka (yang berbuat demikian) itulah orang-orang yang melipat gandakan (pahalanya).

Dalam ayat Makki ini (diturunkan di Makkah), Allah tidak menyebutkan langsung pengharaman riba secara total mahupun sebahagiannya. Malahan Allah menghadirkan perbandingan di antara riba dan zakat untuk difikirkan.

Secara zahirnya, harta riba menambahkan pendapatan berlipat kali ganda, namun tidak bertambah langsung di sisi Allah Ta’ala. Manakala zakat secara kasarnya dilihat mengurangkan pendapatan, namun sebenarnya bertambah berganda-ganda di sisi Allah. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Arab yang berbunyi ;

انفق ما في الجيب, يأتيك ما في الغيب

“Belanjakanlah apa yang ada di dalam kocekmu, kelak akan datang kepadamu (rezeki) dari sesuatu yang tiada disangka-sangka”


Peringkat kedua; Surah an-nisa’ : 160-161

فَبِظُلْمٍ مِنَ الَّذِينَ هَادُوا حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ طَيِّبَاتٍ أُحِلَّتْ لَهُمْ وَبِصَدِّهِمْ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ كَثِيرًا (160) وَأَخْذِهِمُ الرِّبَا وَقَدْ نُهُوا عَنْهُ وَأَكْلِهِمْ أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ مِنْهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا (161)

Maksudnya; 160. Maka disebabkan kezaliman orang-orang Yahudi, kami haramkan atas (memakan makanan) yang baik-baik (yang dahulunya) dihalalkan bagi mereka, dan karena mereka banyak menghalangi (manusia) dari jalan Allah, 161. dan disebabkan mereka memakan riba, padahal sesungguhnya mereka telah dilarang daripadanya, dan karena mereka memakan harta benda orang dengan jalan yang batil. Kami telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir di antara mereka itu siksa yang pedih.

Dalam ayat Madany ini (diturunkan di Madinah), riba telah diharamkan hanya kepada ahli kitab (Yahudi). Umum mengetahui sebelum kedatangan Islam, riba telah menjadi amalan harian masyarakat jahiliyyah sejak berkurun lamanya. Namun pengharamannya kepada ahli kitab Yahudi di peringkat ini disebabkan mereka telah memalingkan manusia dari jalan Allah.


Peringkat ketiga; surah ali-imran : 130

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُضَاعَفَةً وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (130)

Maksudnya; Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keberuntungan.

Pada peringkat ini, skop pengaharaman riba menjadi lebih luas. Yang dimaksud riba di sini ialah riba nasi'ah. Riba nasiah ialah pembayaran lebih yang disyaratkan oleh orang yang meminjamkan. Menurut sebagian besar ulama bahawa riba nasi'ah itu selamanya haram, walaupun tidak berlipat ganda. (Penulis akan membawa pembaca menelusuri dengan lebih mendalam mengenai jenis-jenis riba didalam artikel yang seterusnya, insyaallah).


Peringkat keempat (terakhir); Surah al-Baqarah : 275-281

Peringkat terakhir inilah yang menjadi dasar di dalam pengharaman riba secara total. (insyallah akan menjadi isi utama di dalam artikel selanjutnya).

Sebenarnya banyak lagi kupasan yang ingin penulis kupaskan. Namun sengaja penulis ingin memisahkannya kepada beberapa siri supaya pembaca mendapat kefahaman yang sebenar mengenai isu ini. Sememangnya ‘riba’ merupakan kalimah yang acapkali didengari. Namun kita mesti faham bahawa riba dengan segala bentuknya adalah haram dan termasuk dosa besar, dengan dasar Al-Qur`an, As-Sunnah, dan ijma’ ulama.


Dalil dari Al-Qur`an di antaranya adalah:

وَأَحَلَّ اللهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

“Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” (Al-Baqarah: 275)

Dalil dari As-Sunnah di antaranya:

1. Hadits Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوْبِيْقَاتِ -وَمِنْهَا- أَكْلَ الرِّبَا

“Jauhilah tujuh perkara yang menghancurkan –di antaranya– memakan riba.” (Muttafaqun ‘alaih)


2. Hadits Abu Juhaifah radhiyallahu ‘anhu riwayat Al-Bukhari:

لَعَنَ اللهُ آكِلَ الرِّبَا

“Semoga Allah melaknat pemakan riba.”(HR. Al-Bukhari)


Dalam hadits Jabir radhiyallahu ‘anhu yang diriwayatkan Al-Imam Muslim, yang dilaknat adalah pemakan riba, pemberi riba, penulis dan dua saksinya, lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam menyatakan:

هُمْ سَوَاءٌ

“Mereka itu sama(!!!).”


Wallahualam.

Nantikan artikel yang seterusnya mengenai kupasan ayat terakhir pengharaman riba. Insyallah



Mukhlisah Mardhiah

Irbid, Jordan

07 November 2008 – 11.40pm



RUJUKAN;

1. El-Quranil Kareem

2. Tafsiruhu

3. Khulasah tafaqquh 07 Nov 2008, bersama Ust Heizal Hezry Omar

4. http://trimudilah.wordpress.com/2007/04/02/riba-3


No comments: