April 30, 2010

Persoalan dalam Operasi Mudharabah


Bismillah..

Persoalan dalam Operasi Mudharabah

Muqaddimah

Maksud Mudharabah (perkongsian untung) :
Kontrak antara 2 pihak, salah seorang daripada mereka mengetengahkan modal dan digelar pemilik modal, manakala pihak yang seorang lagi menjalankan urusan perniagaan menggunakan modal tersebut dan digelar mudharib.

Keuntungan dibahagi mengikut kadar yang telah dipersetujui seperti yang termaktub di dalam kontrak, manakala kerugian sepenuhnya ditanggung oleh pemodal. Hal ini kerana mudharib hanya menanggung kerugian dari sudut masa, tenaga dan usaha yang dihabiskannya untuk memperdagangkan modal tersebut.


1. Siapakah yang menanggung perbelanjaan Mudharib?
-Sepanjang melakukan aktiviti mudharabah, mudharib perlu menggeluarkan wang bertujuan menampung beberapa kos seperti pengangkutan, simpanan, dsb. Perbelanjaan mudharib merupakan belanja yang diambil (ditolak) daripada keuntungan yang akan diperoleh di akhir operasi mudharabah, dan tidak termasuk di dalam jumlah modal yang diperoleh daripada pemodal di awal kontrak.

2. Tempoh operasi Mudharabah.
-Tempoh operasi mudharabah yang dijalankan oleh mudharib hendaklah logik, sesuai dengan jenis perniagaan atau pasaran yang diceburi. Contohnya, pelaburan di bidang perindustrian biasanya lebih lama tempoh untuk mendapatkan pulangan berbanding pelaburan di bidang perladangan.

3. Jaminan modal Mudharabah.
-Harus bagi pemilik modal meletakkan syarat ke atas mudharib supaya menjaga hartanya (modal). Mudharib pada asalnya hanyalah bertindak sebagai pemegang amanah (amiin) selagi dia tidak melakukan sebarang kecuaian ke atas harta yang telah diserahkan kepadanya. Namun, jika dia tidak menjaga modal tersebut dengan sebaiknya (dalam erti kata cuai atau sengaja), maka secara automatik mudharib menjadi penjamin ke atas harta itu. Maka, sekiranya berlaku kerugian, ia mestilah ditanggung oleh mudharib atas sebab kecuaiannya.

4. Operasi Mudharabah dengan bukan-Islam.
-Tidak disyaratkan pemilik modal mestilah beragama Islam. Bahkan harus bagi mudharib Muslim mengambil modal dari bukan-Islam untuk dilaburkan. Hal ini disebabkan, mudharib berperanan sebagai wakil kepada pemilik modal, dan hukum menjadi wakil kepada orang bukan-Islam adalah harus.
-Namun, fuqaha' menegah pemilik modal Muslim menyerahkan modalnya kepada mudharib bukan-Islam. hal yang demikian disebabkan kebarangkalian mudharib bukan-Islam untuk melaburkan harta di pasaran tidak patuh syariah adalah besar.

5. Mencampurkan harta Mudharabah dengan harta mudharib.
-Harus bagi mudharib mencampurkan harta Mudharabah dengan hartanya, dengan syarat mendapat keizinan daripada pemilik modal. Pada ketika ini, fungsi mudharib terbahagi kepada 2 : menjadi 'rakan kongsi' di dalam operasi Mudharabah yang dijalankan, dan menjadi 'mudharib' kepada pemilik harta.

6. Pemilik modal bekerja bersama mudharib dalam operasi Mudharabah.
-Ulama' telah berselisih pendapat dalam hal ini.
(i) Jika ianya tidak disyaratkan (tidak termaktub di dalam kontrak) ;
-Pendapat Hanafi, Syafi'iyah dan Hanabilah : hukumnya harus kerana perbuatan tersebut dikira sebagai bantuan daripada pemilik modal.
-Pendapat Malikiah : tidak harus.

(ii) Jika hal tersebut disyaratkan (termaktub di dalam kontrak) ;
-Ulama' sepakat menyatakan kontrak menjadi tidak sah (fasad). Kerana operasi mudharabah yang sebenar hanya membolehkan sebelah pihak mengetengahkan modal, menakala sebelah pihak lagi mengerjakan modal.


Penutup :
Operasi Mudharabah memberikan faedah kepada 2 belah pihak. Sebelah pihak mempunyai wang yang banyak tetapi tidak tahu atau tidak punya masa untuk menguruskannya. Manakala satu pihak lagi mempunyai pengalaman dalam pelaburan harta tetapi tidak mempunyai modal yang mencukupi untuk berbuat demikian. Konsep ini bertepatan dengan perbuatan Rasulullah alaihi salam yang memperdagangkan harta Saidatina Khadijah seperti yang diriwayatkan di dalam lipatan sejarah.


Wallahu 'alam.


Rujukan : Usul Masrafiah Islamiah, Dr. El-Ghareeb Nasir
-Lecture madah 'Masarif Islamiah Mu'asarah', Dr. 'Imad Barakaat


Mukhlisah Mardhiah
30 April 2010
8.59pm
C.I

No comments: