June 15, 2009

Sehari di Madinah Soreh, bersama bekas pendidikku..

Sehari di Madinah Soreh, bersama bekas pendidikku..

Bismillahirrahmanirrahim

Janjiku terhadap junior untuk mencoret lembaran sejarah di bumi ini akan ku tunaikan..

Alhamdulillah, semalam kami telah menziarahi Ustaz Firas Ali, guruku ketika di SMA Al-Khairiah, Temerloh dahulu. Beliau merupakan guru Arab yang telah banyak berjasa kepada para pelajar dalam menerapkan kecintaan terhadap bahasa Arab. Cuma faham-faham sahajalah, bila terserempak dengannya pasti pelajar-pelajar akan memilih jalan lain, takut kena bercakap Arab dengannya. Alahai, bilalah sikap pelajar Melayu nak berubah.

Aku adalah salah seorang anak didiknya bersama Ustazah Rahmah di dalam bahas bahasa Arab sekolah. Bersama-sama team bahasku dahulu – Syafiqah, Syam Irziati dan Maisarah. Itulah permulaanku untuk berjinak-jinak dengan bahasa syurga ini setelah sekian kali kecewa dengan markah subjek bahasa Arabku yang agak rendah berbanding subjek lain.

Terpancar kegembiraan pada suara ustaz bila aku menghubunginya seminggu lepas. Katanya telah 2 minggu dia berada di rumahnya, menjenguk ahli keluarga setelah berbulan lamanya tidak pulang. Begitulah rutin ustaz sedari 2002, bermulanya kisah beliau menjejakkan kaki di Malaysia; mengajar di SMA Al-Khairiah, Temerloh, kemudian menyambung phD di UKM dalam bidang aqidah. Setiap kali cuti panjang beliau akan pulang ke Jordan bertemu dengan ahli keluarga dan sanak saudaranya di sini.

Jam 2 petang kami seramai 11 orang (6 junior dan 5 supersenior) berkumpul di bab Iqtisod, Jami’ah Yarmouk, menanti kedatangan ustaz seperti yang telah dirancang. Tiba-tiba kedengaran hon dari sebuah van hijau. MasyaAllah, ustaz.. betapa masyarakat Arab sememangnya sangat-sangat meraikan tetamu. Lebar senyuman ustaz menyambut kami – bekas anak didiknya di luar Negara. Tak ku sangka pertemuan ini akan terjadi.

Perjalanan kami ke Madinah Soreh tidak lama. Hanya memakan masa lebih kurang 20 minit. Bandar ini merupakan pusat pertanian Negara Jordan. Banyak tanaman-tanaman gandum di sepanjang perjalanan. Kadang kala diselangi dengan pepohon bamia (kacang bendi). Suasana di Madinah Soreh ini tidak sama dengan Hijazy, tempat kami tinggal. Tempatnya aman dan terpelihara serta jauh dari kesibukan kota.

Kedatangan kami disambut baik dan penuh layanan oleh isteri, anak-anak dan adik beradiknya. Memang begitulah masyarakat Arab, sehinggakan kadang kala habis semua adik beradik dan jiran tetangga mereka turut sama meraikan kami sebagai tetamu. Banyak perkara yang kami bualkan bersama setelah hampir setahun tidak berjumpa. Banyak juga tips-tips belajar yang kami peroleh daripada ustaz. Sekali dua perbualan kami diselangi dengan keletah manja dan nakal oleh permata-permata ustaz; Bara’ah, Jana, Ruqayyah, Khadijah, Hammam dan Muhammad Al-Faateh.

Bila ditanya mengenai kos hidup, ustaz amat memahami kami pelajar Malizi di sini. Masakan tidak 1 Jordan Dinar (JD) bersamaan dengan lebih kurang RM5.00. Perbelanjaan kami untuk pelajar yang duduk di sakan (asrama) untuk kediaman sahaja lebih kurang 150JD/bilik/2 orang. Seorang = 75JD x 5 = RM375 setiap bulan. Bayaran itu tidak termasuk lagi makan, pakai, buku, dan lain-lain. Namun kehidupan sebegini banyak mengajar kami untuk mengatur perbelanjaan dengan cermat. Moga-moga bertambah kesyukuran kami kepada Allah bila mengenangkan kami antara ribuan pelajar tajaan yang bertuah.

Ustaz ada mengutarakan idea, menyuruh kami tinggal di kawasan perkampungan. Bahasa Arab nya lebih terpelihara. Apatah lagi budaya dan muamalah sesama masyarakat lebih baik. Kos sara hidup pun tidaklah setinggi di Bandar. Cuma kos pengangkutan sahajalah yang bertambah. Sifirnya begini; makin dekat sesebuah kediaman dengan jami’ah, makin meningkatlah kos kediaman tersebut. Namun faktor-faktor lain harus difikirkan.

Jika di Bandar setiap masa tidak boleh alpa, berhati-hati dengan semua orang yang berada di sekeliling. Setakat ini banyak juga kes pelajar Malizi – perempuan yang diganggu, diikut oleh lelaki Arab samada secara berjalan kaki atau berkenderaan. Ada juga kes samun bersenjata, dan sebagainya. Tapi rasanya risiko sebegini di mana-mana pun boleh berlaku jika terleka, hatta di Malaysia. Semasa di semester satu dahulu, Dr. Mufleh (pensyarah subjek Nuqud wa Bunuk merangkap pengurus Bank Islamy Jordan) seringkali menasihati kami supaya berjalan mestilah dengan satu matlamat. Jangan bergurau senda di jalanan. Apatah lagi berlawak jenaka. (Malizi memang terkenal dengan gurau senda sesama kawan-kawan tika di jalanan – kawan Arab kata). Pendek kata, tunjukkan muka confidence anda dan berani walau di mana anda berada. Yang penting; Innallaha ma’ana..

Satu lagi budaya Arab yang sangat-sangat memuliakan tetamu ;- anda pasti tidak boleh pulang awal ke rumah jika menziarahi keluarga Arab. Paling kurang kena menghabiskan separuh hari bersama mereka. Kadang kala ada juga kawan-kawan yang ditahan untuk tidur semalaman di rumah kawan-kawan Arab mereka. (bezanya dengan orang melayu; mesti berkias ‘bila la orang ni nak balik’..- tapi tak semua macamtu, kan..)

BAB MAKAN. Hurm, jangan cakap la. Mula-mula kedatangan kami mereka hidangkan air. Kemudian makan nasi; maqlubah la biasanya. Maqlubah dihidangkan di dalam sebuah talam bersama dengan 3 ekor ayam. Nasi Arab ni ada macam-macam jenis; maqlubah, kabsah, mansaf, mandy, sawany, beriani, dll. Maqlubah is the famous one. Tidak kira la apa jenis pun nasinya, pasti dihidangkan bersama-sama dengan salatah (ala-ala acar). Kadangkala bersama dengan laban (peringkat susu ala-ala yogurt). Nasi makan dengan susu?? – cuba la dulu!

Pusingan ke-2; Kemudian kami dihidangkan air teh. Kadang-kadang dicampur dengan maramia atau na’na’. – Teringat ketika kelas tambahan bahasa Arab bersama Dr. Abu Dalwu, pensyarah yang pernah menghabiskan 2 tahun di UK. Beliau sangat hairan dengan hidangan teh yang disaji oleh Malizi. Warnanya cair tidak sepekat teh Arab. Seuncang teh malizi untuk satu teko, tapi seuncang teh Arab hanya untuk secawan..

Pusingan ke-3; kami dihidangkan dengan pencuci mulut – beraneka buah-buahan; ja’bir, mishmash, khauh, durraq, tuffah, dll. Lastly sebelum balik, kami disajikan dengan air kopi. Kopi arab semestinya tidak sama dengan kopi malizi. Tapi disebabkan keluarga ust firas pernah tinggal setahun di Malaysia, mereka pun telah memahami budaya orang Melayu; budaya makan dalam pinggan, dan adat minum kopi ditambah gula!

Kami senang hati dengan ziarah ini. Esok ustaz akan pulang ke Malaysia, meneruskan kembali tugasnya sebagai pendidik ummah di sana. Khabarnya ustaz akan dipindahkan ke STA Sultan Abu Bakar @ Kulliyyah, Pekan bermula Jun ini. Beruntunglah mereka, bertambah lagi ustaz Arab di sana.

Terima kasih atas segalanya, ustaz…

Doakan kami kher-kher belaka hendaknya ..

Wallahua’lam


p/s; moga tulisan ini ada manfaatnya..


Mukhlisah Mardhiah

16 Jun 2009 – 12.49am

Memory in Madinah Soreh, Irbid, Jordan


3 comments:

Nor Halimah Ahmad Ramli said...

seronoknya kak..

Unknown said...

Alhamdulillah.. Antara nikmat yg tak smua org dpt.. :)

Izyan Farhana Zulkarnain said...

Slm dik...k.yan ni.alhmdlillah, akhrnya slmt jgk smpi kt jordan ye. Mkgn sdkt kata2 nshat bleh akak berikn...Manfaatkn setiap masa yg ada dgn m'cari sebanyak mgkn ilmu.Sntiasalh b'baik sangka dgn Allah,setiap yg t'jadi tu ada hikmahnya...akhir kalam,akak doakn semua najah d sana i'allah...
slm(n_n)