June 13, 2009

Debu-debu Dataran Syam


Debu-debu Dataran Syam

Bismillahirrahmanirrahim

Entri ini khas ditulis buat adik-adik (ops, silap.. kita sebaya.. ;) – junior-junior yang bakal menapakkan kaki di tanah yang sama kami berdiri ini.


Saat pertama flight itu menyempurnakan pendaratannya, mata kami tertancap dek pemandangan-pemandangan yang jauuh bezanya dari tanah air tercinta, Malaysia. Buat pertama kalinya debu-debu dataran Syam mengenai persalinanku. Ya, tanah ini – Jordan.. Bumi ini lah yang akan menjadi sebahagian dari trek pengembaraan dalam sebuah episod kehidupan. Di sinilah kami akan mengukir sejarah yang bakal terlakar di atas helaian ensiklopedia hidup buat selamanya.

Raut wajah ayahanda dan bonda tercinta semalam tika menghantar anakanda tersayang di lapangan terbang, penuh dengan impian yang menjulang, masih segar di ingatan. Skrin itu, sesaat dua seringkali bermain-main di kotak fikiran. Hari ini anakanda telah sampai di sini, di bumi ini, di tanah yang penuh dengan sejarah para Nabi. Akan ku semat impianmu erat di sisiku, bersama-sama melalui hari-hari mendatang dalam hidupku.

Selesai urusan di pintu masuk Lapangan Terbang Amman, kami di sambut baik oleh beberapa orang senior. Ya, inilah adik-beradikku di sini. Walau ku tahu mereka tidak akan dapat menggantikan tempat kakak dan adikku, aku tetap menerimanya. Kerana di sini – kita sekeluarga! Tiada lagi ayah bonda yang akan mengingatkan kita, Cuma sesekali.. itupun hanya di corong telefon. Tiada lagi gurauan nakal dan pergaduhan kecil dengan kakak dan adik, kerana ku tahu.. berjauhan itu akan memutikkan rindu dan membuahkan sayang. Namun, jauhnya kita – itulah yang menjadi pendorongku untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.

Seusai menghimpun bagasi di perut bas, kami dihidangkan dengan taklimat ringkas yang disampaikan oleh Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia, Jordan, memenuhi perjalanan ke satu tempat yang tidak kami ketahui – Irbid. Kata mereka, perjalanan ini memakan masa selama 2 jam. Masa ini kami manfaatkan, melebarkan pandangan ke luar, mengamati bumi yang penuh bersejarah. Jika dulu, tidak pernah terlintas di mindaku untuk sampai ke sini. Apatah lagi dengan tujuan belajar di negara orang. Melihat dengan mata kepala sendiri, dan merasai dengan hati nurani sendiri, langsung tiada persamaannya dengan melihat dari kaca televisyen, dan mendengar cakap-cakap orang.


Sesekali kami berpandangan dan tersenyum bila mendengar suara-suara halus dari belakang..

“Subhanallah, gemuknya kambing-kambing kat sini…”

“Eeii, rumah-rumah tu bentuk kotak-kotak..”

“Sana.. sana.. khemah Arab Badwi, binatang ternak sume ada..”

“Ya Allah, pakcik ni bawak bas, macam nak race kat litar Sepang. Pakcik, kami ni tak kahwin lagi!”..

..macam-macam..


Dari Bandar, melalui tanah lapang, di ikuti kawasan perkampungan, masuk kembali ke Bandar, tibalah kami di Irbid – Bandar kedua terbesar merangkap bandar perindustrian dan pertanian Negara Jordan. Kawasan ini merupakan tumpuan anak-anak perantau dari Malaysia menuntut ilmu– hampir 500 orang ramainya, berbanding di Amman, Mafraq dan Mu’tah. Bas dihentikan betul-betul di hadapan kediaman kami – Sakan Baitut Thalabah al-Jami’iyah. Di sini kami disambut oleh lebih ramai senior. Kami diminta untuk bergegas, mengambil kunci dan meninggalkan bagasi di kamar. Hanya barang yang perlu sahaja akan dibawa ke rumah mentor. Rencananya begitulah; pelajar-pelajar yang baru sampai akan menginap beberapa hari di rumah mentor untuk membiasakan diri dengan suasana dan persekitaran, berkongsi cerita dan pengalaman, serta diajar cara-cara berinteraksi dengan Arab secara LIVE.

Hari ini 7 Septemper 2008, bersamaan 7 Ramadhan 1429H. Hari pertama kami berbuka puasa di ‘luar negara’. Keadaan agak berserabut kerana azan Maghrib sedang berkumandang, sedangkan kami masih belum siap dengan perkemasan kami. Senior membawa kami ke Bait Mariatul Qibtiah untuk berbuka puasa. Oh, rupa-rupanya di sini semua rumah penuntut Malaysia ada namanya yang tersendiri. Hidangan istimewa hari ini adalah nasi ayam dan air teh. Alhamdulillah, dapat juga melegakan tekak yang sangat kering akibat cuaca panas di sini. Cuaca di Jordan sudah tentu tidak sama dengan cuaca di Malaysia. Anginnya panas. Panasnya pula kering. Kami cuba membiasakan diri menelan beras-beras yang rasanya sangat berbeza dari beras-beras di Malaysia. Begitu juga dengan air teh yang unik. Rupanya-rupanya teh di sini bukan seperti di Malaysia. Ada saja campurannya – daun na’na’, maramia, dan sebagainya. Hurm, permulaan yang menarik..

Esoknya kami di bawa bersiar-siar di sepanjang Syari’ Jami’ah. Destinasi pertama ke Money Changer (Sorafah) – menukar duit-duit dollar kepada Jordan Dinar. Tika itu ekonomi dunia sedang berkecamuk. Sistem ekonomi konvensional telah menunjukkan tanda-tanda kelemahannya. Bank-bank Islam dan islamik kaunter telah banyak dibuka hatta di Eropah. Tempiasnya satu dunia merasakan keperitannya. Peritnya berkiblatkan dollar Amerika sejak berkurun lamanya. Harga barang melambung tinggi. Tukaran mata wang asing senantiasa tidak stabil dan berubah-ubah. Dan semestinya kami juga mempelajari sesuatu daripada keadaan ini.

Kali pertama menjejakkan kaki di pasar, mulut rasa terkunci. Aku hampir tidak memahami kesuluruhan percakapan masyarakat Arab di sini. Penggunaan bahasa Arab ‘Ammi sangat meluas. Langsung tidak membenarkan pemikiranku untuk mentahsinkan bahasa Arab Fushah di sini. Namun itu semua tidak menjadi alasan. Kemahiran mendengar dan memerhati yang diajar oleh pensyarah di IKIP dahulu ketika ini sangat membantu kami. Senior juga banyak membantu. Hari pertama sahaja sudah berpuluh kalimah baru yang kami pelajari. Buktinya, hari kedua di Jordan sudah boleh ke pasar sendiri, walaupun masih merangkak menyusun ayat namun itu tidak menjadi halangan. Alhamdulillah. Dengan keberkatan bulan Ramadhan, Allah memudahkan perjalanan hidup kami.

Kami mula berjinak-jinak dengan situasi di sini, cuba mengadaptasi budaya Arab di dalam kehidupan seharian. Teringat aku akan pesanan ustaz Fared; kalau kita ingin menguasai bahasa segolongan masyarakat, kita mesti berjinak-jinak dengan budaya masyarakat tersebut. Mind set memang penting. Banyak perkara yang ku pelajari di sini, dan kini debu-debu Dataran Syam terasa tidak asing lagi.

Wallahua’lam.


Mukhlisah Mardhiah

13 Jun 2009 – Sabtu

12.57 am

Sakan Baitut Thalabah al-Jami’iyyah.

No comments: