January 22, 2011

Kembara ke Mu'tah di Karak & Rehlah Aqabah (2)



....sambungan...




Usai berziarah maqam, kami menuju ke kawasan coaster untuk menaiki bas ke Karak. Perjalanannya tidaklah terlalu jauh, lebih kurang 10 km. Tambangnya pun murah sahaja.

Setibanya di perhentian bas Karak, mata kami terpandang ke arah kawasan ‘bandar’ yang terletak di atas bukit seolah-olah bertanya “kita kena panjat bukit ini ke??”. Ya, untuk sampai ke atas, kami perlu mendaki bukit yang agak curam itu. Banyak kereta yang melalui jalan tersebut, pasti para pemandunya sangat cekap disebabkan sentiasa menelusurinya.

Sebelum menuju ke kubu bersejarah di daerah Karak ini, kami singgah di masjid untuk solat jama’ taqdim. Kemudian kami meneruskan perjalanan menuju ke kubu pertahanan yang digelar ‘Karak Castle’. Dalam perjalanan ke sana, kami sempat melencong ke kawasan tanah perkuburan Islam di daerah ini. Di suatu sudut hujung bukit terdapat maqam Nabi Nuh ‘alaihi salam, dikatakan baginda pernah singgah di sini sepanjang hidupnya selama 950 tahun berdakwah kepada manusia untuk menyembah Tuhan yang Esa. Namun hanya beberapa orang sahaja yang mengikutinya.

Kami menoleh ke belakang, arah bertentangan dengan maqam Nabi Nuh tesebut. Nun jauh di bawah cerunan sana terdapat sebuah bukit besar seolah-olah membentuk sebuah kapal. Masyarakat setempat di daerah ini percaya bahawa bukit yang menyerupai kapal itu adalah bahtera Nabi Nuh yang tersadai selepas berlakunya banjir besar yang amat dahsyat pada suatu ketika dahulu. Hanya beberapa pasangan manusia dan binatang yang menaiki bahtera tersebut sahaja terselamat daripada bencana yang merupakan azab Allah buat kaum yang ingkar.
Bukit yang menyerupai kapal, selepas zooming.

Selesai menziarahi maqam Nabi Nuh, kami bergerak ke Karak Castle. Dajaj masywi @ ayam panggang dibeli di restoren berhampiran. Memang sudah termasuk dalam perancangan kami untuk lunch di puncak bukit istana lama ini. Namun, keadaan angin yang sangat kencang menyukarkan pergerakan kami. Habis berterbangan segala peralatan kami yang tidak ditindih dengan pemberat. Sesekali, kami yang berjisim berat ini juga hampir tumbang ditiup angin. Jelas kelihatan awan gergasi yang berarak laju di langit.

Karak Castle dibina oleh tentera salib sebelum mereka berjaya dikalahkan oleh tentera Islam pimpinan Salahuddin al-Ayubi. Kubu ini dibina atas dasar pertahanan bagi mengelakkan serangan daripada tentera Islam dan mengawal lalu lintas di kawasan tersebut. Letak duduk kubu di atas bukit ini sangat strategik.

Selepas beberapa puluh tahun tentera salib mendiami kubu ini, tentera Salahuddin Al-Ayubi mengatur strategi untuk menawan kubu tersebut. Mereka mengepung kubu ini untuk tempoh yang lama. Akhirnya, kekuasaan Reynald Chatillon yang memerintah pada ketika itu, jatuh ke tangan umat Islam.

Hari sudah hampir lewat petang. Angin pula semakin kencang. Perjalanan keluar kami dari kawasan muzium memerlukan sekuat daya tenaga merentangi tiupan angin. Maklumlah, berada di atas bukit, tanpa bangunan dan pepohon di kanan kiri. Sesekali tewas juga ditiup angin ke belakang. Semacam ada satu alamat dari tiupan yang ganjil ini. Saljikah??

Kami mengambil keputusan untuk pulang kembali ke penginapan. Mula-mula berkira-kira untuk ke Laut Mati. Dan akhirnya keputusan sepakat untuk menuju ke Aqabah buat kali yang ke-2 pada keesokan harinya. Sebelum sampai di rumah tumpangan, sempat juga memetik falafil goreng dan syawarma di kedai. Syawarma Irbid dan Mu’tah ada kelainannya. Nyummy!



Hari Ketiga - 25 Januari 2010

Hujan sejak malam tadi tidak menunjukkan tanda-tanda ingin berhenti. Sesekali lebat, sesekali renyai. Sejuk hari ini berganda. Celik mata pagi-pagi, disangkakan salji sudah turun. Bila tirai diselak, “oh, belum lagi”. Jalan raya sudah dipenuhi air dan nampak lengang. Perancangan hari ini untuk ke Aqabah harus diteruskan. Jika salji turun, alamatnya banyak jalan yang akan ditutup, dan lambat lagi lah kami akan dapat pulang ke Irbid.

Selepas sarapan dan menyiapkan bekal, kami mengucapkan selamat tinggal kepada kawan-kawan Mu’tah yang sudi menerima kehadiran kami. Semoga Allah membalas jasa mereka semua.

Masing-masing dengan sweater dan baju hujan masing-masing, meredah hujan dan lopak air yang tidak putus. Orang Arab jarang menggunakan payung. Mereka suka hujan. Maklumlah, dalam setahun hujan hanya turun di pertengahan musim sejuk sahaja. Kami meluru terus hingga ke hujung jalan, tempat perhentian bas. Kali ini 3 orang sahabat Mu’tah menyertai rehlah kami ke Aqabah. Lebih meriah! Teruja rasanya bia melihat asap berkepul-kepul keluar dari ruang pernafasan disebabkan kesejukan yang amat sangat.

Kami mengambil coaster menuju ke terminal bas. Hampir setengah jam menunggu bas yang akan bertolak ke Aqabah. Bunyi tiupan angin yang agak kuat sesekali menggerunkan kami. Bas yang besar dan panjang itu pun boleh bergoyang dek kerana tiupan angin. Masha Allah.

Perjalanan dari Karak ke Aqabah adalah sejauh 237 km. Memang satu perjalanan yang panjang. Jalan yang bersimpang siur di awalnya juga sesekali memeningkan kepala kami. Namun, semakin kami menjauhi Karak, cuaca hujan dan sejuk bertukar menjadi semakin panas dan kering. Petanda bahawa cuaca di Aqabah dalam keadaan baik.

Oleh kerana ini kali ke-2 majoriti dari kami tiba di Aqabah, maka kami tidak memilih untuk menziarahi tempat bersejarah. Kali ini cadangnya kami ingin membeli beberapa barang dan cenderamata untuk dibawa pulang ke Malaysia selepas semester akhir nanti. Masing-masing dengan comforter, selimut set, dan barangan pilihan masing-masing. Tidak ketinggalan juga ada yang membeli patung biri-biri comel dan sedap dipeluk. Walaupun kawasan ini menjadi tumpuan pelancong, kawasan bebas cukai ini memang sangat murah harga barangannya. Namun, kalau berlebih-lebihan semasa membeli, tunggulah urusan yang panjang lebar menanti di imegresen nanti. Masing-masing dengan comforter, selimut set, dan peralatan masing-masing.

Kami merancang untuk menyewa sebuah hotel bajet yang mempunyai dapur memasak. Satu bangunan ke satu bangunan dicari. Akhirnya, nun jauh di hujung batang jalan sana kami temui 1 yang selesa dengan harga yang murah. Sohibnya juga menyenangkan. Dia sudi untuk meminjamkan kepada kami gas dan peralatan memasak. Apa lagi, malam ini kami menuju ke kedai borong makanan laut, membeli ikan, sotong dan sebagainya untuk dimasak. Jika di Irbid, jangan haraplah bertemu dengan ikan segar dan berharga murah. Alhamdulillah.

Hari Keempat - 26 Januari 2010

Hari ini hari terakhir. Memikirkan barang-barang shopping semalam yang sangat banyak dan ‘besar-besar’, betul-betul memeningkan kepala kami. Mana mungkin semua barang itu diterima untuk dimuatkan di dalam perut bas dalam satu destinasi yang panjang. Bagaimana pula dengan cukai??

Sahabat Mu’tah kami mengambil coatser untuk pulang. Tak sabar katanya ingin bermain salji di Mu’tah. Dengar cerita, salji telah turun di Mu’tah pada malam tadi. Kami pula mengambil teksi ke perhentian bas JET untuk membeli tiket terus ke Irbid. Harganya lebih kurang 10 JOD. Perjalanan Aqabah ke Irbid adalah sejauh 412 km. Subhanallah. Moga Allah tabahkan kami dalam perjalanan yang panjang ini.
Terima kasih buat semua sahabat yang membantu.

Kembara ke Muktah di Karak & Rehlah Aqabah (1)


Kembara ke Muktah di Karak & Rehlah Aqabah (1)

Lokasi : Mu’tah dan Aqabah
Tarikh : 23 Januari 2010 – 26 Januari 2010 (4 hari)
Matawang : Jordan Dinar - JOD (100USD = 71 JOD)
Budget : 40 JOD (belanja tambang, penginapan dan makan)
Travel Members : 8 orang
(Mard, Syahida, Fahin, Humi, Zakiah Thowil, Nadiah, Farhana, Farizah)


Muqaddimah

Tahun ini tahun terakhir kami di bumi Jordan. Rumah kawan-kawan lengang dek kerana masing-masing punya jadual destinasi kembara yang tersendiri. Cuti sebelum memasuki semester akhir ini kami manfaatkan dengan memilih Mu’tah sebagai destinasi kembara ‘gamble’ kami. Sudah lama benar hasrat di hati mahu mendarat di sana. Alhamdulillah, akhirnya Allah izinkan.


Hari Pertama - 23 Januari 2010

Kali ini kami berlapan mengembara ke Mu’tah dengan menaiki bas awam. Jaraknya dari Irbid memakan masa lebih kurang 5 jam perjalanan. Masing-masing tiada pengalaman ke sana. Berbekalkan informasi yang kami kutip, kami memulakan langkah dengan penuh keyakinan. Ada 4 perhentian yang perlu dilalui untuk tiba di Mu’tah;
i) Mujamma’ Amman di Irbid,
ii) Mujamma’ Amman di Amman,
iii) Mujamma’ Janubi di Wehdat, Amman,
iv) Balad Mu’tah

3 – menunjukkan simbol perhentiaan ke-3 kami di perhentiaan bas dan teksi Wehdat, Amman.



Alhamdulillah, kami selamat tiba di Mu’tah pada waktu Maghrib. Musim ini musim sejuk. Kami dapat rasakan kesejukan Mu’tah melebihi kesejukan di Irbid dan Amman. Pakcik Arab di kedai-kedai setiap hari akan berkata, “esok pasti salji turun”, namun tidak turun-turun juga. Kami menumpang bermalam di rumah kawan-kawan pelajar di sana. Layanan mereka sungguh baik. Sempat kami membeli beras, ayam, telur dan sayur-sayuran sebagai buah tangan sebelum ke penginapan mereka.

Hari pertama kami isi dengan borak dan rehat. Gembira rasanya dapat bertemu semula dengan kawan lama ketika di sekolah dahulu, Aziah namanya. Tak sangka bumi Jordan akan mempertemukan kami.

Tenaga di cas kembali, untuk kembara di esok hari. Selimut tebal seberat 8 kg dan pemanas udara menjadi rakan karib kami sepanjang musim sejuk ini.



Hari Kedua - 24 Januari 2010

Pagi ini angin kuat. Tidak seperti semalam. Adakah ini tanda-tanda salji akan turun pada hari ini??

Selepas menyiapkan bekal makan tengahari : nasi putih dengan telur goreng berlada, kami terus bertolak ke persimpangan jalan, menunggu murakib (pengawas yang terdiri daripada mahasiswa lelaki) untuk mengetuai kembara kami sepanjang hari ini. Terima kasih kami ucapkan buat Ustaz Fudhail Azemi and the gang. Ustaz Fudhail merupakan bekas senior di sekolah lamaku dahulu.

Destinasi pertama terletak di daerah Mazar. Kami menziarahi maqam 3 sahabat yang syahid dalam perang Mu’tah ketika bertempur dengan tentera Rom Byzantine. Mereka merupakan panglima perang yang mengetuai 3000 tentera muslimin mengalahkan 200000 tentera Rom dan Musyrikin. 3 maqam ini diasingkan di dalam bilik yang berlainan di sebuah tempat. Tapak perang Mu’tah juga boleh dilawati di daerah ini, berhampiran dengan Universiti Mu’tah.

Sebelum bertolak ke medan jihad, Rasulullah telah melantik Zaid bin Harithah untuk mengetuai angkatan tentera sebagai panglima. Sekiranya Zaid syahid, panglima tentera Islam akan diganti dengan Ja’far bin Abi Thalib. Sekiranya Ja’far pula yang syahid, panglima tentera Islam akan diganti pula dengan Abdullah bin Rawahah. Apabila ketiga-tiga panglima Islam yang dilantik oleh Rasulullah ini syahid di medan perang, maka kaum Muslimin harus berbincang untuk meletakkan siapa sebagai panglima seterusnya. Tentera Islam sepakat melantik Khalid al-Walid sebagai ganti. Akhirnya tentera Islam mencapai kemenangan, mengalahkan kuasa besar dunia pada ketika itu.

Maqam Saidina Zaid bin Harithah


Zaid bin Harithah merupakan anak angkat kesayangan Rasulullah ‘alaihi salam. Sebelum turunnya wahyu larangan mem’bin’kan anak angkat dengan bapa angkatnya, Zaid dikenali dengan nama Zaid bin Muhammad. Asalnya, beliau merupakan seorang hamba yang dibeli di pasar Ukaz oleh anak saudara Khadijah binti Khuwailid. Lalu Zaid diberikan kepada Khadijah, dan Khadijah memberinya kepada Rasulullah. Zaid merupakan antara orang yang terawal menyahut seruan Islam. Rasulullah sangat sedih akan pemergian orang yang dikasihinya yang syahid di medan Mu’tah ini.

Bergambar di hadapan Maqam Ja’far bin Abi Thalib


Ja’far bin Abi Thalib juga dikenali sebagai Ja’far At-Thayyar (Ja’far yang bersayap). Beliau merupakan sahabat dan sepupu Rasulullah ‘alaihi salam. Semasa peperangan Mu’tah berlangsung, ketika kelihatan Zaid telah ditewaskan, sepantas kilat Ja’far menyambar panji-panji Islam daripada jatuh ke tanah dan menjulangnya dengan tinggi sebagai tanda kepimpinan telah beralih di tangannya. Melihat keadaan itu, tentera kafir Musyrikin memberikan serangan bertubi-tubi kepadanya. Tangan kanannya yang memegang panji-panji Islam dicantas. Lantas disambutnya panji-panji itu dengan tangan kirinya pula. Lalu tangan kirinya pula dipotong, Ja’far terus memeluk panji-panji itu dengan lengannya di dada. Apabila lengannya tinggal sepertiga, sepantas kilat Abdullah bin Rawahah menyambar panji-panji Islam sebagai tanda kekuasaan Islam berada di bawah pimpinannya pula. Allahuakbar.

Abdullah bin Umar menyatakan, ketika jasad Ja’far at-Thayyar ditemui, kelihatan lebih 90 tempat luka disebabkan tusukan pedang dan tombak di sekitar jasadnya. Berbahagialah syuhada’ Allah di syurga sana. Bekas lukanya itu adalah tanda kehormatannya di syurga.


Di hadapan Maqam Abdullah bin Rawahah bersama penjaga tempat ini.



Abdullah bin Rawahah dari golongan Ansar merupakan salah seorang daripada 12 orang yang berbaiah kepada Rasulullah dalam Bai’atul Aqabah yang pertama. Beliau sangat pakar bersyair. Di sekeliling maqamnya juga terpahat bait syair yang pernah digubahnya. Sepanjang perang berlangsung, seringkali tentera Islam turun semangat, lebih-lebih lagi apabila satu demi satu panglima mereka syahid. Seringkali itu juga Abdullah bin Rawahah menguatkan kembali semangat mereka dengan syairnya yang berkobar.

Ketika mengatur strategi sebelum perang, mereka mendapati bahawa tentera kafir dan musyrikin jauh lebih ramai berbanding tentera Islam. Ada cadangan daripada sahabat untuk menulis surat kepada Rasulullah untuk memberitahu hal tersebut. Lantas Abdullah bin Rawahah berdiri dan berkata ; “Wahai Saudara! Demi Allah, sesungguhnya kita berperang dengan musuh bukan atas dasar bilangan dan kekuatan. Kita memerangi mereka tidak lain tidak bukan untuk memepertahankan agama kita ini, yang dengannya kita dimuliakan Allah. Ayuh maju! Salah satu dari 2 jalan kebaikan pasti kita capai : kemenangan atau syahid di jalan Allah!”. Maka melangkahlah tentera Islam dengan penuh semangat untuk menegakkan agama Allah.
......................................................................................................................................
...bersambung...
Mukhlisah Mardhiah

January 21, 2011

Percayakan kuasa minda

Bismillah.

Sekali pandang, bunyinya seperti tajuk artikel motivasi. Tapi sebenarnya tidak. Atau, mungkin juga boleh dianggap sebegitu, bagi sesiapa yang pandai mengimplementasikan apa yang bakal dibaca dalam kehidupannya.
.....................................................................................................................................................
Inilah kerja saya sejak kebelakangan ini. Walaupun masih ada lagi projek yang belum terlaksana. Untuk kesekian kalinya saya menyatakan buku catatan kembara saya hilang ketika di pesta buku Syria 2010. Jujurnya, sehingga hari ini saya masih menyimpan harapan untuk dipertemukan kembali dengan 'buku lunyai' tersebut. Tersirat 1001 kisah dan pengalaman di dalamnya.
.....................................................................................................................................................
Disebabkan rasa sayang dengan apa yang telah saya peroleh dahulu, saya menulis kembali segala apa yang telah saya lalui. Bukan mudah menyelam kembali ke masa yang telah berlalu. Meletakkan diri di tempat peristiwa. Saya tidak punya poket doraemon, untuk membawa masuk pintu jangka masa ke belakang. Sukar untuk saya memulakannya. Namun selepas satu dua artikel saya 'berjaya', saya lebih yakin diri. Saya percayakan kuasa minda yang Allah berikan kepada manusia.
.....................................................................................................................................................
Sebenarnya, semua perkara yang telah kita lalui dan pelajari akan tersimpan di dalam satu folder dalam otak kita. File atau folder tersebut tidak akan hilang, selagi kita tidak hilang akal. Otak manusia lebih hebat daripada Pentium 4. Jika sebuah komputer boleh menyimpan jutaan data dalam satu tempoh masa yang lama, mengapa tidak manusia?
.....................................................................................................................................................
Namun, bagaiman kita boleh 'lupa'? - Banyak faktornya. Ini kerana otak merupakan satu organ yang dipenuhi dan disumbat dengan pelbagai maklumat saban ketika. Jika kita tidak pandai mengurus, file dan folder tersebut akan bercelaru dan tertindih, dan mungkin juga 'hilang'. Analoginya; sesuatu laluan, jika sudah lama tidak dilalui akan membentuk semak. Ini bukan bermakna laluan tersebut telah hilang. Bahkan ia masih disitu dan perlu dijejaki kembali.
.....................................................................................................................................................
Anugerah lupa juga penting untuk manusia. Bayangkan, jika manusia tidak dikurniakan sifat lupa, manusia akan mengingati setiap perkara yang dilaluinya, untuk setiap detik dan ketika. Termasuk juga perkara remeh dan tidak penting. Bagaimana pula kisahnya kalau dahulu dia seorang yang gagal, dan dia masih lagi meletakkan kegagalan dalam fikirannya? Tentu sukar untuk dia berubah ke arah kejayaan. Bagaimana pula dengan orang yang trauma terhadap sesuatu dalam hidupnya?
......................................................................................................................................................
Apabila kita cuba meletakkan diri di tempat kejadian, kebiasaannya kita akan ingat di sudut mana kita berdiri, siapa yang bersama dengan kita, apa yang kita lakukan, peristiwa suka dan duka yang berlaku, dan sebagainya. Itulah yang cuba saya lakukan sekarang. Kita yang memilih untuk lupa, dan kita yang memilih untuk mengingat.
.....................................................................................................................................................
p/s : Masihkah anda ingat lagu-lagu dalam subjek Muzik di sekolah rendah? - Aku burung di dalam sangkar, Bapaku pulang dari kota, Air pasang pagi surut pukul 5, dan sebagainya. Tidak mustahil anda mampu mengingati subjek lain juga!
.....................................................................................................................................................
..insyallah, saya akan kongsikan entri kembara saya yang lepas2..
Moga bermanfaat.
.....................................................................................................................................................
Mukhlisah Mardhiah
22 Jan 2010, 1.01 am
Permai Hill, Pahang.

January 7, 2011

My Cheese Chocolate Cake ^_^


Bismillah..

Alhamdulillah, akhirnya lepas juga hajat nak 'bake' sebiji kek. My first cake since pulang ke Malaysia. Teringat kenangan Casa Intelek di Jordan dulu, setiap bulan sebiji kek dah confirm. Malam exam semakin menjadi-jadi nak cuba itu ini. ^^, cobaan..

Sejak balik Malaysia ni, dah beberapa kali kawan-kawan msg..
"Adeq, nak resepi cheese cake!".. huish, mereka ni masih istiqamah dengan cheese cake yang dah selalu menghadap di Jordan dulu. Tak boleh jadi ni..

So, my sharing is ~ RESEPI KEK COLAT KEJU


(Walaupun rupanya tidak seberapa, namun rasanya sehingga menjilat jari :p )


-Lapisan Kek Coklat di bawah, dan keju di atas..

Bahan Lapisan bawah;

- 1/2 buttercup (125 g)
- 3/4 cawan Gula
- 3 biji Telur
- Esen vanila
- 1 sudu susu pekat
- 1 3/4 cawan tepung kek
- 1 1/2 sudu serbuk koko
- Selawat ;)


Cara :
- Putar butter & gula.
- Then, + telur.
- Then + vanila, susu pekat.
- Campurkan serbuk koko & tepung kek, kacau dengan senduk sampai sebati.
- Panaskan oven ; 160 darjah. Bakar selama lebih kurang 45min.
Bahan Lapisan Atas;
- 2 biji telur
- 15 gram butter
- 100 gram gula
- 300 gram Krim cheese
- Perahan lemon
- 2 sudu tepung
- Selawat ;)


Cara :
- Campur semua & blend.
- Bila lapisan kek coklat dah masak, tuang adunan keju ke atasnya.
- Bakar selama lebih kurang 20min.

HASILNYA....


*Cara nak test dah masak ke belum, cucuk je dengan garpu. kalau tak melekat pada garpu tu maknanya dah ok.
* Kalau takde oven, cara kukus pun ok juga. (sepanjang duduk jordan memang bake cake sume atas dapur masak je.. - Terkenang pula kek besday untuk Ustaz Fared yang kami buat spesial di rumah Pahang, Hayu 'Asyir, Cairo ;)
* Sebenarnya td tersilap letak soda bikarbonat sesudu kecil. tapi kek ok je. (sepatutnya kalau guna tepung kek tak perlu + soda bikarbonat & serbuk penaik dah. Kalau guna tepung biasa, baru campurkan).
* Er, sebenarnya (lagi) td terbakar lapisan cheese lama, guna pula api atas, so hasilnya tidak memutih. Maka, ditutup dengan hiasan hirisan coklat masak - koko & putih di atasnya. Sebabtu la rupanya begitu.. :p


SELAMAT MENCUBA! ;)
Nak ubah resepi, terpulanglah..
Ex; kalau tak minat kek coklat, ganti lah dengan perasa lain; vanila / oren / etc.


-Mukhlisah Mardhiah-
Permai Hill, Pahang