Semakin hari masa semakin meninggalkan kita. Saat per saat jarum jam itu menyapu mukanya. Betapa lambatnya menanti pergerakan masa yang mendatang. Namun, setiap saat yang berlalu terasa payahnya untuk digapai semula. Ketika itulah dirasakan masa berlalu begitu pantas. Betullah kata-kata hukamak dan cerdik pandai, “masa itu pedang”, “masa itu emas”. Di situlah letaknya kepentingan Allah bersumpah dengan masa.. (والعصر...), (والضحى...), etc.
Hari ini 04 Julai 2008. Jam menunjukkan tepat malam 9.53. Baru tadi petang aku mengucapkan selamat hari lahir kepada sahabatku, Najwa. Moga dia senantiasa beroleh berkahNya. Kini aku hanya menanti hari, sehingga saat itu tiba. Saat yang ditunggu-tunggu olehku dan teman seperjuangan sedari kami mula menjejakkan kaki ke kampus IKIP. Entah bila tarikh penerbangan kami akan diumumkan.. hanya diberitahu pada pertengahan bulan Ogos..
Aku ditanya oleh sahabatku, 'Tidak sabar-sabarkah kami??' Bagiku bukan ‘ya’ jawapannya. 2 tahun sememangnya bukanlah masa yang lama. 2 tahun kehidupan kami di Jordan seharusnya menjadi 2 tahun yang terbaik. 2 tahun untuk bertalaqi dengan syeikh, 2 tahun untuk mendalami Syariah, 2 tahun untuk menuntut ilmu ekonomi Islam! Cabarannya sudah tentu sangat besar. 2 tahun kami harus mencorakkan diri yang dhaif ini supaya kelak bererti kepada manusia seluruhnya. Ya Allah, jadikanlah kehidupan kami bermanfaat buat insan lain. Ameen.
Cabaran terbesar Malaysia.. Hari ini, dunia menyaksikan bahawa Malaysia setapak demi setapak membangunkan sistem ekonomi Islam, sistem yang dipraktiskan Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wassalam dan para sahabat. Berbahagialah Muslim seluruhnya apabila melaksanakan hukum Allah dan menolak kebathilan. Firman Allah dalam Surah Saba’ : 49 ;
قُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَمَا يُبْدِئُ الْبَاطِلُ وَمَا يُعِيدُ (49)
Maksudnya : Katakanlah: "Kebenaran telah datang dan yang batil itu tidak akan memulai dan tidak (pula) akan mengulangi.
Usaha-usaha yang pelbagai sedaya upaya menolak kebathilan yang telah bertapak di dalam sistem ekonomi Malaysia berkurun lamanya. Di sinilah pentingnya kesepakatan atau jamaah. Jamaah itu kekuatan, ummah itu tujuan! Namun bumi Malaysia tercinta ini masih ketandusan insan-insan yang boleh memenuhi kerusi-kerusi kosong di dalam bidang ini dan kitalah wajah-wajah pelapis para pejuang agama Allah, penyambung rantaian dakwah Rasulullah. Firman Allah dalam Surah as-Saff : 4 ;
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ (4)
Maksudnya : Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.
Berbahagialah orang-orang yang berjihad di jalanNya. Jihad masa kini, bukanlah jihad memegang pedang dan senjata. Namun jihad masa kini, memerlukan kepada keteguhan emosi dan minda untuk membuahkan keberhasilan idea yang kembali mencorakkan pemuda pemudi agama. Itulah cabaran yang perlu disahut dalam keadaan Islam kini sedang diperhati dari setiap sudut! Allah berfirman dalam Surah al-Infithar : 13 ;
إِنَّ الْأَبْرَارَ لَفِي نَعِيمٍ (13)
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang banyak berbakti benar-benar berada dalam syurga yang penuh kenikmatan.
Semoga Allah menjadikan masa yang sudah berlalu, sekarang, dan akan datang baik untuk diri dan manusia seluruhnya. Walau di profesyen mana pun kita, Islam tetap di sanjung dan diagungkan sehingga kita mengembalikan sinar Islam sehebat zaman Sultan Solahuddin el-Ayyubi terhadap penaklukan Jurusalem. Wahai diri, bersusah payahlah kamu untuk 2 tahun ini, kerana kita tidak tahu bagaimanakah keadaan dunia 20 tahun lagi. O Allah, Sahhilna!
Wallahu’alam.
Mukhlisah Mardhiah,
Permai Hill, Malaysia
04 Julai 2008 @ 10.31pm
Rujukan;
1) El-Furqan
2) Tafsir el-Furqan